Pengasas kumpulan pembebasan Palestin meninggal dunia

AHMAD JIBRIL - Foto AFP
AHMAD JIBRIL - Foto AFP
A
A
A

DAMSYIK - Pengasas kumpulan Barisan Depan Untuk Pembebasan Palestin - Pemerintahan Awam (PFLP-GC), Ahmad Jibril meninggal dunia pada Rabu di Damsyik, Syria ketika berumur 83 tahun, kata seorang anak lelakinya, Bader Jibril.

Menurutnya, bapanya meninggal dunia selepas menghidap penyakit tetapi tidak mendedahkan penyakit yang dihidapinya.

Dua rakannya mengesahkan kepada AFP bahawa beliau meninggal dunia di sebuah hospital.

Beliau mengasaskan kumpulan tersebut pada tahun 1968 selepas ia berpecah daripada Barisan Depan Untuk Pembebasan Palestin.

Ahmad Jibril menjadi popular ekoran penentangannya terhadap sebarang rundingan dengan negara haram Israel.

Kumpulannya itu digelar sebagai sebuah pertubuhan pengganas oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Seorang lagi anak lelakinya meninggal dunia selepas sebuah bom diletakkan pada sebuah kereta di Beirut, Lubnan pada tahun 2002.

Ahmad Jibril menghabiskan kebanyakan masanya semasa hidup di Syria dan pernah berkhidmat sebagai seorang pegawai tentera negara tersebut pada tahun 1950an.

Artikel Berkaitan:

Beliau dilahirkan di bandar Jaffa pada tahun 1938 dan keluarganya menetap di Syria berikutan penubuhan secara haram negara Israel pada tahun 1948. - Agensi