X

Kindly register in order to view this article
!

'Situasi di Indonesia seperti zon perang'

Angka korban Covid-19 di Indonesia kini meningkat 10 kali ganda berbanding kadar kematian harian pada bulan lalu. - Foto AFP
A
A

JAKARTA - Situasi ketika ini seperti zon perang.

Rintihan itu disuarakan kakitangan perubatan yang bertugas di barisan hadapan berikutan Indonesia kini bergelut dengan lonjakan kes jangkitan harian Covid-19 yang semakin luar biasa.

Ancaman pandemik itu yang semakin meningkat selain angka kematian melepasi 1,000 orang dalam tempoh 24 jam menyebabkan pemerintah memutuskan untuk memperluaskan langkah 'lockdown' atau Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) ke seluruh negara sehingga 20 Julai depan.

Sekatan baharu itu akan dilaksanakan di puluhan bandar dan diperluaskan dari Pulau Sumatera ke wilayah Papua sebagai usaha membendung penularan varian Delta yang mudah berjangkit.

"Kes jangkitan juga semakin meningkat di wilayah lain dan kita perlu beri perhatian terhadap kapasiti hospital," kata Menteri Kanan, Airlangga Hartarto.

Difahamkan, kawasan yang dikenakan sekatan itu mencatatkan kes jangkitan harian lebih rendah berbanding di pusat wabak di Pulau Jawa yang didiami lebih separuh daripada hampir 270 juta populasi di Indonesia.

"Bagaimanapun, perkhidmatan jagaan kesihatan di wilayah itu semakin terhad dan dijangka tidak lagi dapat menampung kebanjiran pesakit Covid-19 jika kes jangkitan terus melonjak," ujarnya sambil menambah data terbaharu merekodkan 34,379 kes jangkitan dan 1,040 kematian yang menunjukkan peningkatan sebanyak 10 kali ganda berbanding kadar kematian harian pada bulan lalu.

Pada Selasa, pakar memberi amaran negara paling teruk terjejas di rantau Asia Tenggara itu berpotensi menyaksikan lonjakan kes lebih 50,000 sehari.

Ketika ini, beberapa hospital di bandar Malang dan Solo terpaksa mendirikan khemah rawatan sementara di ruang parkir berikutan kemudahan tersebut telah mencapai kapasiti maksimum.

Kes jangkitan dalam kalangan kakitangan perubatan juga dilaporkan semakin meningkat sekali gus memberi tekanan kepada sistem jagaan kesihatan di negara tersebut yang menyaksikan hampir 1,000 kematian direkodkan termasuk lebih 12 individu yang sudah mendapat suntikan penuh. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!