Lebih banyak sektor dibenar operasi di lokaliti PKPD di Selangor: MITI

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). - Gambar hiasan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan rantaian bekalannya, sektor aeroangkasa, mesin dan peralatan (M&E) bagi pengeluaran produk kesihatan dan makanan serta syarikat pembuatan makanan dan minuman utama dibenarkan untuk beroperasi di lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri Selangor bermula pada Rabu.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bertindak segera untuk melaksanakan keputusan tersebut secepat mungkin dengan mengadakan perbincangan selanjutnya dengan Menteri Kewangan dan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) selepas mesyuarat Kabinet yang diadakan pada Rabu.

“Keputusan ini dibuat berikutan peranan sektor-sektor ini yang penting dan signifikan dalam menyokong pengeluaran produk dalam rantaian bekalan global serta pengeluaran kritikal bagi sektor kesihatan dan makanan & minuman di dalam negara,” kata MITI dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bagi sektor aeroangkasa kebenaran diberikan bagi penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihan.

Syarikat-syarikat dalam sektor berkenaan boleh memulakan semula operasi dengan menggunakan surat kelulusan Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 sedia ada yang mempunyai akronim ‘PKP 3.0’ dan bertarikh pada bulan Jun 2021 dan ke atas.

“Syarikat-syarikat diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pengilangan dan Pembuatan PKPD Selangor semasa sepenuhnya yang merangkumi antaranya sektor dan aktiviti yang dibenarkan untuk beroperasi, dan keperluan mematuhi kapasiti operasi pada kadar 60 peratus bagi pekerja di premis dan 40 peratus lagi pekerja untuk melaksanakan amalan bekerja dari rumah,” katanya.

Melalui Proram Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), yang bermula 16 Jun 2021, MITI akan memastikan program vaksinasi dalam kalangan pekerja sektor pembuatan akan dipertingkat dan dipercepatkan untuk melindungi kesihatan pekerja dan menjamin kelangsungan ekonomi negara.- Bernama

Artikel Berkaitan: