X

Kindly register in order to view this article
!

Jawatan TPM kembali wujud, perkukuh PN

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri berkuat kuasa serta-merta dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatan Timbalan Perdana Menteri kini kembali wujud selepas 15 bulan ‘dibiarkan kosong’ oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN), dan ia dilihat bertujuan memperkukuh kerajaan di samping menjayakan agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Jawatan berkenaan pada Rabu diisi semula selepas Perdana Menteri melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan mengekalkan portfolio Menteri Pertahanan, seperti dimaklumkan Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan petang ini.

Pengumuman yang sedikit sebanyak mengejutkan banyak pihak itu, sememangnya menjadi hak prerogatif perdana menteri, sekali gus menyaksikan pengguguran dan pelantikan anggota Jemaah Menteri sebagai satu proses biasa dalam amalan politik demokrasi.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata beliau melihat pelantikan Ismail Sabri akan dapat membantu perdana menteri melicinkan pentadbiran kerajaan tatkala negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Pelantikan Ahli Parlimen Bera, yang merupakan Naib Presiden UMNO ke jawatan politik kedua tertinggi dalam kerajaan akan membolehkan hubungan ‘dingin’ UMNO dan Bersatu kembali bertaut dan memperkukuh kerajaan PN melaksanakan PPN dalam menghadapi penularan Covid-19.

“Adalah diharap Ismail Sabri dapat memainkan peranan sebagai jambatan kepada keharmonian antara UMNO dan Bersatu. Selain itu, meskipun UMNO bukanlah komponen parti PN, namun mendapat lantikan jawatan nombor dua tertinggi negara adalah sesuatu yang di luar jangkaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Kali terakhir jawatan berkenaan disandang Pengerusi Lembaga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, wanita pertama dalam sejarah menjawat jawatan nombor dua negara.

Kedudukan Dr Wan Azizah itu adalah susulan kejayaan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan pusat selepas menumbangkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Muhyiddin, yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac tahun lepas, buat pertama kali dalam sejarah tidak menamakan individu bagi jawatan timbalan perdana menteri.

Sebaliknya beliau mengumumkan pelantikan portfolio empat menteri kanan iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Menteri Pertahanan; Menteri Kerja Raya dan Menteri Pendidikan.

Walaupun jawatan timbalan perdana menteri wujud atas dasar konvensyen dan tidak termaktub di bawah undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, Mohd Izani berpendapat ia tetap dianggap penting dan berkuasa.

Penganalisis politik itu berkata jawatan itu sangat penting bagi membantu perdana menteri dalam menguruskan hal-hal negara.

“Sebelum ini, jawatan timbalan perdana menteri adalah jawatan yang diamalkan negara sejak merdeka, namun selepas PN mengambil alih kerajaan tahun lepas, jawatan berkenaan ditiadakan sementara dan kini diwujudkan kembali disebabkan faktor-faktor tertentu yang tidak diketahui.

“Saya melihat sememangnya jawatan berkenaan layak diberikan kepada UMNO memandangkan parti itu mempunyai wakil yang ramai di dalam Kabinet. Bagaimanapun, tumpuan selepas ini adalah pendirian UMNO terhadap pelantikan Ismail Sabri itu,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri dilantik Timbalan Perdana Menteri, Hishammuddin Menteri Kanan


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!