Tabung WTP santuni lebih 1,800 keluarga B40

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

SHAH ALAM – Lebih 1,800 keluarga B40 di seluruh semenanjung yang terkesan akibat pandemik Covid-19 telah menerima bantuan berbentuk wang tunai daripada Tabung Warga TNB Prihatin (WTP) yang dilancarkan pada 9 Jun lalu melibatkan agihan bernilai lebih RM1 juta.

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Tabung WTP adalah wadah untuk warga kerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu untuk terus membantu rakyat yang memerlukan dalam suasana pandemik yang berlanjutan selari dengan kesungguhan TNB menerangi kehidupan penduduk negara ini.

“Secebis bantuan daripada kami ini diharap mampu mengukir senyuman dan membawa rasa bahagia kepada penerima bagi menempuhi tempoh yang agak sukar ketika ini.

“Selain warga kerja TNB yang menyumbang kepada tabung dengan nilai RM1.52 juta setakat ini, terima kasih saya ucapkan kepada pemimpin kesatuan dan persatuan dalaman TNB yang bersepakat menubuhkan tabung serta pelbagai pihak yang membantu kami mengenalpasti penerima bantuan,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, sambutan baik warga kerja TNB menjayakan tabung itu adalah manifestasi nilai-nilai murni budaya TNB iaitu prihatin, kerjasama, mengutamakan pelanggan, integriti, profesionalisme dan berwawasan yang amat penting dalam usaha menyeluruh syarikat itu membantu kerajaan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Mahdzir berkata, dalam menyokong usaha PPN, TNB menumpukan empat aspek iaitu menyelamatkan nyawa, melindungi golongan rentan, menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi.

“Dalam suasana ramai yang tertekan akibat pandemik Covid-19, dengan ada yang kehilangan sebahagian punca pendapatan bahkan ada yang kehilangan pekerjaan, tabung amal ini juga memberi keinsafan kepada warga kerja kami untuk sentiasa berkongsi nikmat.

“Alhamdulillah, menerusi maklum balas penerima daripada berbilang bangsa, ramai menyatakan bantuan Tabung WTP dapat meredakan kesusahan keluarga masing-masing,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain Tabung WTP, sejak awal tahun ini TNB telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada lebih 10,000 golongan B40 dengan peruntukan hampir RM9.5 juta termasuk membiayai pembinaan semula dan membaiki rumah, pengagihan bekalan makanan dan keperluan asas serta wang saku.