Penerbangan tertangguh sehari gara-gara pelitup muka

Gambar fail menunjukkan sebuah pesawat American Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Charlotte Douglas di Charlotte, Carolina Utara. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sebuah pesawat American Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Charlotte Douglas di Charlotte, Carolina Utara. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Penerbangan sebuah pesawat American Airlines yang terbang dari Carolina Utara ke Bahamas terpaksa ditangguhkan selama sehari selepas kira-kira 30 remaja enggan memakai pelitup muka, lapor media tempatan pada Selasa.

Pesawat itu sepatutnya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Charlotte Douglas di Charlotte, Carolina Utara pada lewat Isnin lalu tetapi penerbangannya kemudian ditangguhkan.

Penerbangan itu hanya meninggalkan lapangan terbang tersebut pada Selasa dengan remaja tersebut turut menaiki pesawat tersebut.

Pada mulanya, penerbangan pesawat berkenaan ditangguhkan beberapa jam disebabkan oleh masalah mekanikal.

Bagaimanapun, semasa ia mula untuk berlepas, satu perbalahan berlaku pula antara remaja-remaja itu dengan kru pesawat tersebut kerana mereka enggan mematuhi arahan untuk memakai pelitup muka, lapor stesen televisyen WSOC-TV.

Kumpulan remaja tersebut ialah pelajar-pelajar sekolah tinggi dari Boston yang meraikan kejayaan menamatkan persekolahan.

Namun, mereka akhirnya bersetuju memakai pelitup muka pada hari berikutanya selepas bermalam di lapangan terbang tersebut.

Polis pula tidak membuat sebarang tangkapan, lapor media tempatan. - Agensi

Artikel Berkaitan: