X

Kindly register in order to view this article
!

Langgar SOP: Penjaja rojak dikompaun berniaga di lampu isyarat

Penjaja rojak yang dikenakan kompaun selepas didapati langgar SOP pada Ahad. - Foto ihsan IPD Kemaman (Gambar kecil: Hanyan)
A
A

KEMAMAN - Seorang penjaja rojak yang menjaja di bahu jalan dikompaun RM2,000 selepas didapati berniaga tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) di lampu isyarat Kemasik- Air Jerneh, di sini, pada Ahad.

Lelaki berusia 36 tahun itu dikesan berniaga di lokasi tersebut pada jam 2.15 petang pada operasi Op Patuh tanpa mengikut SOP ditetapkan Dibawah Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompoun Kesalahan- Kesalahan) 2021.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan menyarankan kepada orang ramai terutama yang ingin berniaga supaya mengambil pendekatan dengan membuka gerai di tepi jalan dengan mematuhi SOP ditetapkan berbanding berdiri di lampu isyarat atau di tengah jalan.

"Orang ramai yang ingin berniaga, buatlah dengan cara yang betul seperti membuka gerai di tepi jalan serta patuhi SOP dengan menyediakan QR Code MySejahtera dan bukannya berdiri di tengah jalan yang membahayakan diri sendiri termasuk juga pengguna jalan raya yang lain.

"Dengan menyediakan QR Code MySejahtera, jika ada dalam kalangan pembeli pembawa Covid-19, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mengesan dan mengambil tindakan pada kadar segera.

"Mereka tidak perlu takut dikenakan tindakan undang-undang daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana tidak mempunyai lesen berniaga kerana dalam tempoh sebegini, semua pihak pasti memahami," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Selasa.

Sepanjang tempoh Op Patuh yang bermula pada Jumaat sehingga Ahad di daerah ini, Hanyan berkata, seramai empat individu dikenakan tindakan kompaun dengan nilai keseluruhan RM14,000 atas pelbagai kesalahan melanggar SOP.

Beliau berkata, antara kesalahan termasuk merentas negeri tanpa kebenaran, membawa penumpang melebihi kapasiti dan berniaga tanpa mengikut SOP yang telah ditetapkan.

"Kes pertama, kompaun berjumlah RM5,000 setiap seorang dikeluarkan terhadap dua lelaki berusia 32 dan 35 tahun kerana didapati merentas negeri tanpa kebenaran di Sekatan Jalan Raya (SJR) di sempadan Terengganu/Pahang, Mak Lagam, di sini, kira-kira jam 2 petang, pada Sabtu.

"Dalam kes yang berasingan pada jam 3.30 petang hari sama, kompaun berjumlah RM2,000 kepada seorang lelaki yang berusia 27 tahun kerana membawa penumpang melebihi kapasiti yang telah ditetapkan di SJR Sekolah Pusat, Jalan Air Putih-Chukai, di sini, katanya.

Kesemua individu yang dikenakan kompaun, kata beliau perlu membuat pembayaran di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman dalam tempoh masa 14 hari dan kegagalan membuat bayaran dalam tempoh diberi, pendakwaan di mahkamah akan dibuat.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!