BMW perkenal pelan pembiayaan Easy Drive

Pelanggan perlu bayar terlebih dahulu antara 10-30 peratus.
A
A

BMW Group Financial Services Malaysia melancarkan Easy Drive, iaitu Sebuah Solusi Mobiliti yang mengutamakan pelanggan bagi membolehkan para pelanggan mendapatkan akses dan fleksibiliti apabila memiliki model BMW atau MINI.

Mobiliti korporat dan pelanggan persendirian kini lebih ringkas dengan komitmen bulanan yang rendah serta tahap fleksibiliti yang maksimum. Menurut Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl, BMW sentiasa berusaha untuk mengenal pasti trend-trend baharu pemilikan kenderaan seawal yang mungkin dan menterjemahkannya kepada sesuatu yang lebih praktikal.

“Sementara trend umum pada hari ini menyaksikan pemilikan kenderaan yang lebih bersifat jangka panjang, kita tidak dapat menafikan perkembangan yang dilihat dalam populasi pengguna yang ingin menukar kereta masing-masing setiap tiga hingga empat tahun,” katanya. Dengan pelan Easy Drive ini, sebagai permulaan pelanggan terlebih dahulu perlu memilih bayaran mula antara 10-30%.

Kemudian, mereka perlu memutuskan untuk pembayaran pinjaman antara tiga atau empat tahun, dengan pilihan perbatuan tahunan antara 20,000 atau 25,000 km. Dari situ, pembiayaan bulanan akan dikira dan nilai masa depan kereta yang dijamin akan dipersetujui dan ditandatangani untuk melindungi pelanggan daripada susut nilai yang tidak dijangka, dan berfungsi sebagai nilai pembayaran akhir.

Kemudian pelanggan boleh terus menggunakan kereta (sementara membayar ansuran) sehingga tamat tempoh, di mana mereka akan diberikan beberapa pilihan penyelesaian. Ini termasuk jual-beli kereta dan juga menukar kepada model BMW atau MINI yang lain atau memulangkan kereta tanpa sebarang bantahan, menyelesaikan bayaran akhir dan membeli kereta secara langsung atau melanjutkan tempoh kontrak mereka.

Bagi yang ingin menambah faedah yang lebih bernilai, boleh memilih untuk membayar kos tambahan sebanyak RM110 dalam ansuran bulanan untuk Easy Drive Prime. Dengan itu, pelanggan akan menikmati dua tahun bagi penjagaan dalaman dan luaran kereta dan pakej Premium Mobility yang termasuk dengan peranti SmarTAG (dengan kad TnG) dan cenderahati BMW Lifestyle Collection.

Anda juga layak untuk mendapatkan perlindungan Ultimate Protection Programme Elite selama tiga tahun, yang melindungi pemandu dan kenderaan mereka untuk bantuan khas, calar, pelindungan pampasan banjir dan banyak lagi. Perlindungan ini disediakan oleh Allianz General Insurance Company.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia