X

Kindly register in order to view this article
!

Audit UNESCO penentu status Tasik Chini

Dengan kekayaan kepelbagaian biologi yang dimiliki ini, maka Tasik Chini yang merupakan tasik air tawar kedua terbesar negara selepas Tasik Bera muncul sebagai antara destinasi ekopelancongan utama di Malaysia.
A
A
TASIK Chini yang terletak di Pahang terkenal dengan legenda Naga Seri Gumum, Naga Seri Pahang dan Naga Seri Daik yang dikatakan pernah menghuninya. Ia juga terkenal dengan legenda tamadun Khmer yang dikatakan tenggelam dalam tasik ini.

Sebagai tapak rizab biosfera pertama di negara ini, ia sepatutnya berfungsi sebagai tapak pemuliharaan dan konservasi kepelbagaian biologi, selain menyokong pembangunan lestari membabitkan ekonomi penduduk setempat, bukannya semakin pudar keseriannya akibat aktiviti penerokaan tanah dan perlombongan bijih besi yang berleluasa.

Ramai tidak mengetahui kepentingan mengekalkan Tasik Chini, hatta tidak mengambil endah pun kewujudannya. Di seluruh dunia, terdapat 651 tapak rizab biosfera dari 120 negara dengan Tasik Chini diwartakan sebagai tapak rizab biosfera kerana kekayaan kepelbagaian flora dan faunanya.

Dengan kekayaan kepelbagaian biologi yang dimiliki ini, maka Tasik Chini yang merupakan tasik air tawar kedua terbesar negara selepas Tasik Bera muncul sebagai antara destinasi ekopelancongan utama di Malaysia. Ternyata dengan ‘kekayaan’ yang dimiliki ini, Taman Negeri Tasik Chini sewajarnya diangkat sebagai produk pelancongan bertaraf antarabangsa.

Lazimnya, pelancong berkunjung ke Tasik Chini untuk melihat destinasi yang terkenal dengan mitos kewujudan naga dan tarikan ekopelancongan tetapi kecewa apabila dihidangkan dengan pemandangan penerokaan hutan, kawasan perlombongan dan air tasik yang keruh.

Walhal, Tasik Chini yang mempunyai 12 tasik air tawar sepatutnya mampu menjadi penyumbang ekonomi masyarakat setempat melalui pelancongan dan penangkapan ikan.

Kegiatan penerokaan hutan, penanaman kelapa sawit dan perlombongan bijih besi tanpa kawalan menyebabkan jumlah keluasan tasik semakin menyusut berbanding saiz asalnya. Perubahan paling ketara membabitkan kedalaman tasik akibat berlakunya mendapan sedimen selain airnya keruh.

Perkara ini berlaku kerana ketiadaan zon penampan alam sekitar seperti yang lazimnya ditetapkan bagi mengelakkan pencemaran tasik berkenaan. Rentetan itu, sebahagian besar bandar Pekan berpotensi dilanda banjir kerana fungsi Tasik Chini sebagai zon penampan semula jadi kepada bencana banjir dengan menakung curahan air hujan sebelum dialirkan ke Sungai Pahang, kini gagal dijalankan.

Paling terjejas adalah 500 masyarakat orang asli suku Jakun yang menetap di sekitar kawasan berkenaan. Tasik yang menjadi punca air mereka kini tidak lagi selamat digunakan. Malah mereka juga kehilangan punca pendapatan melalui hasil penjualan kraftangan kerana bilangan pelancong yang menjadikan kampung mereka sebagai sebahagian pakej lawatan hampir tiada disebabkan ekosistem tasik yang didakwa terganggu.

Maka, adalah kerugian besar kepada negara jika status rizab biosfera Tasik Chini ditarik balik oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Hal ini kerana, status tersebut membolehkan Malaysia menerima dana penyelidikan untuk membangunkan kawasan itu. Bertindak

Pihak berkuasa tidak harus ‘menutup mata’ atau menafikan hakikat sebenar yang berlaku di Tasik Chini. Pewartaan kawasan rizab Tasik Chini sebagai Hutan Simpanan Kekal tidak merangkumi keseluruhan kawasan rizab tasik di samping tiada usaha pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan menyebabkan Tasik Chini semakin hilang seri.

Justeru, pada kadar segera sebuah badan khas perlu ditubuhkan untuk membantu menguruskan Tasik Chini dan melaksanakan program pemulihan menyeluruh bagi memperbaiki keadaan.

Kita perlu bergerak pantas kerana pada tahun ini UNESCO akan menjalankan audit terhadap status rizab biosfera tasik itu dan kegagalan kita ‘menyelamatkan’ Tasik Chini pastinya menyebabkan Malaysia kehilangan satu lagi pengiktirafan antarabangsa berkaitan agenda kelestarian alam sekitar negara.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan Belia dan Komuniti Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!