Perubatan insan sejagat

A
A
A

PENGISYTIHARAN Pertubuhan Perubatan Sedunia (World Medical Association atau WMA) Geneva yang telah diterima oleh Perhimpunan Umum Kedua WMA pada September 1948 di Geneva, Switzerland telah dipinda enam kali.

Pemindaan terakhir telah dilakukan pada Perhimpunan Umum Ke-68 WMA pada Oktober 2017 di Chicago, Amerika Syarikat. Ia bertajuk Ikrar Pakar Perubatan yang juga digunapakai oleh mana-mana pengamal perubatan yang mempunyai ijazah perubatan yang diiktiraf.

Ikrar ini adalah seperti berikut: Sebagai seorang ahli profesion perubatan: Saya berikrar dengan khusyuk untuk mendedikasi hayat saya kepada perkhidmatan kepada kemanusiaan; Kesihatan serta kesejahteraan pesakit saya ialah pertimbangan saya yang utama; Saya akan menghormati autonomi dan maruah pesakit saya; Saya akan mengekalkan penghormatan yang tertinggi bagi hayat insan; Saya tidak akan membenarkan pertimbangan tentang usia, penyakit atau kekurangan upaya, kepercayaan, asal etnik, jantina, kewarganegaraan, gabungan siasah, keturunan, orientasi seks, taraf sosial atau faktor lain campur tangan antara tugas saya dengan pesakit saya.

Saya akan menghormati rahsia yang diberitahu kepada saya, walaupun setelah pesakit mati; Saya akan mengamalkan profesion saya dengan damir dan maruah dan menurut amalan perubatan baik; Saya akan menyuburkan tradisi yang dihormati dan mulia; Saya akan memberi kepada guru, rakan dan pelajar penghormatan serta pengiktirafan yang merupakan hak mereka; Saya akan berkongsi ilmu saya untuk kepentingan pesakit dan kemajuan penjagaan kesihatan.

Saya akan menjaga kesihatan, kesejahteraan dan kebolehan saya untuk memberi penjagaan yang berstandard tertinggi; Saya tidak akan menggunakan pengetahuan perubatan untuk melanggar hak asasi manusia serta kebebasan awam walaupun sedang diancam; Saya melaksanakan janji ini dengan khusyuk, bebas, dan dengan penghormatan diri.

Etika Perubatan Islam yang diluluskan di Kuwait pada tahun 1981 Masihi juga mengandungi Sumpah Doktor (SD) yang mengandungi tujuh sumpah. Walaupun empat daripada tujuh kandungan SD Islam ini mempunyai persamaan dengan Ikrar Pakar Perubatan WMA, perbezaan ketara ialah pada tiga sumpah yang lain.

Penghayatan akidah menjadi ciri utama pada tiga sumpah yang baki ini. SD Islam bermula dengan kalimah “Saya bersumpah demi ALLAH Maha Besar.” Sumpah pertama: “Untuk menyedari ALLAH dalam melaksanakan profesion saya.” Sumpah keempat: “Untuk di sepanjang jalan alat kerahmatan ALLAH, menghulurkan pencagaan perubatan saya kepada yang dekat dan yang jauh, yang berpahala dan yang berdosa, dan kawan serta seteru. Sumpah ketujuh: “Untuk menghayati keimanan saya dalam rahsia dan dalam nyata, mengelakkan apa yang menoda saya di penglihatan ALLAH, Rasul-Nya serta sahabat beriman saya. SD Islam ini diakhiri dengan kalimah “Dan semoga ALLAH menjadi saksi atas sumpah ini.”

Jelas bahawa profesion perubatan menuntut pengamal perubatan memberi perhatian perubatan kepada seluruh umat manusia tanpa membeza-bezakan kulit dan warna. Hanya ahli profesional yang mulia sahaja yang dapat menghayati ikrar serta sumpah profesion yang mulia.

Sejak hujung tahun 1984 apabila saya mula mengajar pelajar perubatan hinggalah kini, saya cuba menekankan prinsip kesaksamaan rawatan bagi semua manusia. Ini berkaitan langsung dengan prinsip keadilan dalam etika perubatan.

Satu lagi prinsip yang saya pelajari daripada guru-guru saya dari empat benua ialah: Jika anda seorang rasis, anda tidak boleh menjadi doktor yang baik!

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Presiden Persatuan Terapi Psikospiritual Malaysia

Artikel Berkaitan: