PDRM, ATM kerjasama perkukuh sempadan negara

Hasan Basri menunjukkan sebahagian daripada barangan rampasan yang paling banyak dirampas PGA sepanjang Op Bersepadu dalam usaha memperketatkan lagi kawalan di sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Hasan Basri menunjukkan sebahagian daripada barangan rampasan yang paling banyak dirampas PGA sepanjang Op Bersepadu dalam usaha memperketatkan lagi kawalan di sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diperkukuhkan menerusi projek rintis Op Bersepadu dalam usaha memperketatkan lagi kawalan di sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, kerjasama yang dilancarkan pada 16 Jun lalu melalui PGA Batalion 7 Kuantan dan ATM itu berjaya membendung aktiviti jenayah rentas sempadan.

"Hasilnya, kami berjaya mematahkan 13 kes penyeludupan barangan dengan rampasan bernilai RM318,459.96 setakat ini," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Stol, di sini pada Sabtu.

Hadir sama Komander PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi dan Komander Batalion 8 Pengkalan Chepa, Superintendan Mat Shukor Yusuf.

Menurutnya, menerusi projek rintis itu seramai enam lelaki turut ditahan serta tujuh kenderaan dirampas.

Beliau memberitahu, pihaknya berjaya merekodkan pelbagai barangan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM33,237,876.35 menerusi Op Benteng Covid-19 tahun ini bermula Januari hingga Jun.

Selain itu katanya, sepanjang tempoh tersebut seramai 398 lelaki dan 60 wanita ditahan bawah Op Benteng Covid-19.

"Kejayaan itu memperlihatkan kesungguhan PGA memastikan aktiviti jenayah rentas sempadan dibendung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Hasan Basri berkata, penggunaan dron banyak membantu penugasan operasi berkenaan terutama kawasan panas atau kawasan kritikal yang sering berlaku aktiviti jenayah sempadan.

Tambah beliau, melalui penggunaan dron PGA dapat memperketatkan lagi kawalan di lorong tikus bagi memastikan sempadan Malaysia-Thailand tidak mudah untuk dibolosi.

"Sejak Februari tahun lalu sehingga Jun tahun ini kita berjaya merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM228,722," katanya.