Lihat fungsi bendera, bukan simbolik warna

Usahlah kita pertikaikan lagi tentang kempen kibar bendera putih ini kerana ada sebab kenapa ia digerakkan dalam keadaan situasi Covid-19 sekarang ini.
Usahlah kita pertikaikan lagi tentang kempen kibar bendera putih ini kerana ada sebab kenapa ia digerakkan dalam keadaan situasi Covid-19 sekarang ini.
A
A
A

KEMPEN bendera putih sebagai tanda memerlukan bantuan nampaknya memberi impak yang ketara kepada golongan terputus bekalan makanan.

Dalam masa tidak sampai seminggu, kempen yang dilancarkan di media sosial itu berjaya menemukan mereka yang benar-benar terputus bekalan makanan.

Disebabkan bendera itu juga, ramai mula peka dengan jiran masing-masing yang sebelum ini tidak diketahui sama ada tidur dalam keadaan kenyang ataupun lapar.

Malah, usaha tersebut juga secara tidak langsung memudahkan pihak-pihak tertentu untuk mengenal pasti golongan memerlukan, sekali gus menyalurkan bantuan dengan kadar segera tanpa sebarang kerenah birokrasi.

Penulis secara peribadi bersetuju dengan idea tersebut walaupun bendera putih itu simboliknya membawa konotasi yang negatif iaitu menyerah kalah atau putus harapan.

Namun, dalam situasi sekarang ini bukan simbolik warna yang perlu didebatkan, sebaliknya fungsi yang perlu dilihat.

Lagipun, bendera putih ini berbeza dengan bendera pelbagai warna lain yang berkibar megah di negara ini yang mana fungsinya hanya menjadi kebanggaan kelompok-kelompok tertentu.

Sementara bendera putih yang dikibarkan ini merupakan satu pemberitahuan jelas, ringkas dan mudah difahami.

Artikel Berkaitan:

Sama macam signal distress S.O.S, maksudnya hanya satu iaitu ada jiwa yang sedang memerlukan pertolongan!

Selain itu, warna tersebut juga tidak menyebelahi atau membayangi mana-mana pihak berkepentingan, terutamanya melibatkan parti politik.

Bayangkan kalau warna merah atau biru dipilih, tentu ramai yang akan mengaitkannya dengan parti itu atau ini.

Mungkin juga ada yang akan berteori kononnya mereka mengibarkan bendera itu didalangi oleh pihak-pihak tertentu yang bertujuan mensabotaj pemerintah.

Tidak cukup dengan itu, mereka yang mengibarkannya juga pasti akan ditohmah kerana dianggap bersekongkol dengan pihak-pihak tertentu yang sentiasa mengambil kesempatan daripada kesusahan orang lain.

Justeru, putih adalah warna terbaik digunakan sebagai bendera untuk memohon bantuan.

Selain tidak menyebelahi mana-mana pihak, warna tersebut juga melambangkan kejujuran pihak mengibarkan bendera itu bahawa mereka memang dalam kesusahan.

Oleh itu, usahlah kita pertikaikan lagi tentang kempen kibar bendera putih ini kerana ada sebab kenapa ia digerakkan dalam keadaan situasi Covid-19 sekarang ini.

Kalau kita asyik berdebat tentang simbolik dan warnanya, entah berapa ramai lagi mereka yang akan merana sehingga sanggup menamatkan riwayat hidup sendiri sebagai jalan penyelesaian.

Justeru, lihatlah ia dari konteks ‘memerlukan bantuan’ dalam situasi Covid-19 dan bukan ‘menyerah kalah’ dalam sebuah peperangan.

Masalah tidak akan selesai kalau kita asyik membincangkan sesuatu perkara berdasarkan persepsi semata-mata tanpa melihat isu sebenar.

Bantu

Lagipun, penulis lihat cara begini berkesan untuk membantu mereka yang malu hendak meminta pertolongan tetapi berdepan situasi rumit dalam hidup.

Malah, ia juga berfungsi sebagai ‘penggera kecemasan’ kepada wakil rakyat di seluruh negara untuk menjenguk berapa ramai rakyat di kawasan masing-masing yang terpaksa mengibarkan bendera berkenaan.

Kalau perkara tersebut berlaku, pastikan YB-YB semua menjadi individu pertama yang menurunkan bendera putih itu di rumah mereka, sekali gus menghulurkan bantuan diperlukan.

Kalau dulu mereka ini sanggup mengibarkan bendera kebanggaan YB-YB di rumah masing-masing, kini tiba masanya YB-YB sekalian pula balas jasa mereka dengan menurunkan bendera putih yang dikibarkan itu.

Tapi jika masih memberi 1,001 alasan dengan menganggapnya sebagai propaganda, bersedialah untuk diturunkan oleh mereka semua apabila sampai masanya nanti.

Waktu itu, barulah YB-YB semua tahu maksud sebenar bendera putih dan rasalah sendiri betapa peritnya mengibarkan bendera berkenaan.

* Hafezdzullah Mohd Hassan ialah Wartawan Sinar Harian