Syarikat pembinaan didakwa paksa kakitangan bekerja ketika PKPD

Memo pelaksanaan bekerja di pejabat ketika PKPD.
Memo pelaksanaan bekerja di pejabat ketika PKPD.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah syarikat kontraktor pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) didakwa memaksa kakitangan mereka terus bekerja biarpun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Lumpur dan Selangor dilaksanakan bermula 3 Julai sehingga 14 Julai.

Berdasarkan memo kepada kakitangan, syarikat itu meminta supaya pekerjanya untuk terus bekerja walaupun dalam tempoh PKPD.

Menurut sumber syarikat berkenaan, kapasiti di tempat kerja tersebut dipercayai 100 peratus bekerja di pejabat dan tapak pembinaan.

Tambahnya, pelaksanaan bekerja di rumah hanya terpakai untuk kakitangan yang tergolong dalam positif Covid-19 atau kenalan rapat yang positif.

“Kiranya, sekarang ini semua kakitangan syarikat kami terkecuali daripada arahan kementerian.

“Jadi, kami tidak faham kenapa prosedur operasi standard (SOP) seperti ini sedangkan, kami antara yang berisiko di tapak pembinaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, selaras dengan penguatkuasaan PKPD di beberapa mukim dan lokaliti di Selangor dan Kuala Lumpur, semua kerja pembinaan dan yang berkaitan di kawasan berkenaan perlu dihentikan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini bermakna surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang sebelum ini diterima bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan itu diteruskan sepanjang tempoh PKPD, kini tidak boleh digunakan lagi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau berkata, pengecualian diberikan kepada kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan pendawaian yang bersifat kritikal berdasarkan janji temu.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD: Semua kerja pembinaan dihentikan

Dalam pada itu, dia mendakwa, kakitangan yang menetap di kawasan PKPD tetap dipanggil bekerja dengan alasan mempunyai surat pengecualian.

Jelasnya, kakitangan itu sudah bekerja di pejabat dengan kapasiti penuh bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.