PKPD Kuala Muda: Penduduk tidak dibenar keluar vaksin

Kawasan perumahan penduduk di Taman Bandar Baru Sungai Lalang yang dikenakan PKPD bermula 5 hingga 18 Julai 2021 telah dipasang kawad duri.
Kawasan perumahan penduduk di Taman Bandar Baru Sungai Lalang yang dikenakan PKPD bermula 5 hingga 18 Julai 2021 telah dipasang kawad duri.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Lebih 11,000 penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kuala Muda diarahkan tidak keluar rumah termasuk bagi tujuan menerima vaksin.

Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Muda, Dr Suziana Redzuan berkata, kesemua bakal penerima vaksin yang telah mendapat tarikh temujanji ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tidak dibenarkan keluar sepanjang PKPD dikuatkuasakan.

Menurutnya, senarai nama bakal penerima vaksin di kawasan PKPD Kuala Muda akan dikumpulkan bagi tujuan penjadualan semula.

"Bagi yang telah menerima temujanji vaksin di PPV awam, kita akan kumpul nama dan menjadualkan semula...mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD," katanya kepada pemberita di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kuala Muda pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, cadangan yang dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) ialah melakukan penjadualan semula di mana penduduk yang menerima temujanji akan divaksin di kawasan PKPD.

"Sebelum ini Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, membenarkan penduduk di kawasan PKPD untuk keluar bagi menerima vaksin dengan kapasiti tiga orang dalam kereta, tetapi PKPD Kuala Muda berbeza, apa yang kita cadangkan dalam SOP ialah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjadualkan semula dan penduduk akan divaksin di kawasan PKPD sendiri.

"Contohnya di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, kita bagi jadual semula dan penduduk tak perlu keluar dari PKPD, ada klinik kesihatan dalam ini dan akan divaksin di situ," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau merayu penduduk agar tidak meninggalkan kediaman masing-masing kerana tujuan PKPD dilaksanakan adalah memutuskan rantaian Covid-19 selain perbuatan itu adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPK di Kuala Muda membabitkan kawasan kilang Jimat Jaya Sdn Bhd dan Asrama Pekerja Taman Seroja, Sungai Lalang bermula 4 hingga 17 Julai 2021 membabitkan 156 pekerja bukan warganegara bagi Kluster Dah Bukit Makmur.

Selain itu, PKPD di Taman Bandar Baru dan Taman Lembah Permai Sungai Lalang membabitkan anggaran 11,600 penduduk (Kluster Industri Sungai Getah) bermula 5 hingga 18 Julai 2021.

PKPD Kawasan Perindustrian Bakar Arang termasuk Taman Cahaya PKNK membabitkan Kluster Dah Arang, Kluster Dah Bakar, Kluster Dah Industri 5 dan Kluster Dah Industri 11 dianggarkan mempunyai 300 penduduk juga bermula 5 hingga 18 Julai 2021.

Setakat ini, seramai 155 orang anggota polis, tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia akan melaksanakan penugasan sepanjang PKPD Kuala Muda dikuatkuasakan.