Seni tari gamelan kembali popular di Terengganu

Kumpulan Gamelan Seri Gelam Ratna Kusuma membuat persembahan sulung di Warisan Sari yang terletak di Kampung Tok Jembal baru-baru ini.
Kumpulan tersebut yang dianggotai 20 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gelam, Kuala Nerus terdiri daripada murid-murid berumur tujuh hingga 10 tahun itu mengikuti Bengkel Asas Tarian Gamelan dan Muzik Asas Gamelan selama dua bulan sebelum membuat persembahan.
Seni tari gamelan merupakan muzik hiburan diraja yang hanya dipersembahkan di istana satu ketika dulu, mempunyai sejarah jatuh bangunnya di Terengganu.- Foto Bernama
Kumpulan Gamelan Seri Gelam Ratna Kusuma membuat persembahan sulung di Warisan Sari yang terletak di Kampung Tok Jembal baru-baru ini. Kumpulan tersebut yang dianggotai 20 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gelam, Kuala Nerus terdiri daripada murid-murid berumur tujuh hingga 10 tahun itu mengikuti Bengkel Asas Tarian Gamelan dan Muzik Asas Gamelan selama dua bulan sebelum membuat persembahan. Seni tari gamelan merupakan muzik hiburan diraja yang hanya dipersembahkan di istana satu ketika dulu, mempunyai sejarah jatuh bangunnya di Terengganu.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seni tari gamelan, muzik hiburan diraja yang hanya dipersembahkan di istana satu ketika dahulu, mempunyai sejarah jatuh bangunnya di Terengganu.

Dahulunya, seni tari ini yang mempunyai latar muzik alat gamelan, cukup popular di istana Riau-Lingga dan Pahang.

Seni persembahan yang dipengaruhi unsur Melayu, Jawa dan Bali ini kemudian dibawa ke istana Terengganu oleh kerabat diraja Pahang, Tengku Ampuan Mariam yang berkahwin dengan Sultan Terengganu ke-14, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada 1913.

Tengku Ampuan Mariam memperkenalkan seni tari itu di Istana Maziah pada tahun 1915.

Sehingga tahun 1936, sultan dan permaisuri begitu berminat dengan gamelan, lalu memperolehi set gamelan sehingga pelbagai lagu dan tarian dicipta termasuk Lambang Sari, Geliung, Ketam Renjong, Togok, Gagak Seteru, Lancang Kuning dan Topeng.

Bagaimanapun, gamelan Terengganu mengalami era kejatuhan semasa zaman penaklukan Jepun pada 1941 serta kemangkatan Sultan Sulaiman pada tahun 1942.

Selepas tersimpan lebih 30 tahun, set gamelan itu dipulangkan kepada kerajaan Pahang pada 1973.

Setelah melalui tempoh suram yang agak lama, seni tari gamelan kembali dipopularkan di Terangganu oleh sebuah pusat persembahan tarian gamelan negeri, Warisan Sari yang terletak di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus.

Artikel Berkaitan:

Penggerak Warisan Sari, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak berkata Warisan Sari kini membuka ruang kepada orang ramai khususnya rakyat Terengganu untuk merakyatkan seni tari itu yang dulu hanya menjadi tontonan kerabat diraja dan golongan bangsawan.

“Fokus kita adalah untuk menarik minat golongan muda, terutama pelajar sekolah yang masih kurang pendedahan mengenai gamelan.

“Selain dapat mengasah bakat dengan aktiviti kesenian, kita dapat terus memulihara satu daripada khazanah dan warisan seni tari Melayu daripada terus pupus ditelan zaman,” katanya kepada Bernama.

Para Pembantu Pengajaran Bahasa Inggeris (ETA) dari Amerika Syarikat belajar menari tarian Gamelan bergambar selepas melakukan latihan di sebuah pusat persembahan tarian gamelan negeri, Warisan Sari yang terletak di Kampung Tok Jembal baru-baru ini.
Persembahan muzik gamelan diikuti gerakan lemah gemalai sang penari yang lengkap berpakaian tradisional Melayu, Jawa dan Bali itu menarik perhatian kira-kira 30 Pembantu Pengajaran Bahasa Inggeris (ETA) dari Amerika Syarikat yang ditugaskan di tiga negeri Pantai Timur - Kelantan, Pahang dan Terengganu untuk mencuba bermain alatan muzik berkenaan dan turut mengambil bahagian sebagai penari latar dengan hanya menjalani latihan spontan tidak sampai sejam.- Foto Bernama
Para Pembantu Pengajaran Bahasa Inggeris (ETA) dari Amerika Syarikat belajar menari tarian Gamelan bergambar selepas melakukan latihan di sebuah pusat persembahan tarian gamelan negeri, Warisan Sari yang terletak di Kampung Tok Jembal baru-baru ini. Persembahan muzik gamelan diikuti gerakan lemah gemalai sang penari yang lengkap berpakaian tradisional Melayu, Jawa dan Bali itu menarik perhatian kira-kira 30 Pembantu Pengajaran Bahasa Inggeris (ETA) dari Amerika Syarikat yang ditugaskan di tiga negeri Pantai Timur - Kelantan, Pahang dan Terengganu untuk mencuba bermain alatan muzik berkenaan dan turut mengambil bahagian sebagai penari latar dengan hanya menjalani latihan spontan tidak sampai sejam.- Foto Bernama

Di Warisan Sari, aktiviti tarian gamelan diadakan secara santai pada setiap Sabtu bagi memberi peluang kepada penggemar gamelan dan orang ramai menikmati irama dan seni tari tradisional itu.

Warisan Sari kini boleh berbangga kerana usaha itu akhirnya membawa kepada penubuhan Kumpulan Gamelan Seri Gelam Ratna Kusuma yang dianggotai 20 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gelam, Kuala Nerus pada akhir 2018.

Selama lebih dua bulan, murid-murid berumur tujuh hingga 10 tahun itu mengikuti Bengkel Asas Tarian Gamelan dan Muzik Asas Gamelan hingga berjaya membuat persembahan sulung kepada orang ramai di Warisan Sari baru-baru ini.

Persembahan muzik gamelan diikuti gerakan lemah gemalai sang penari kecil molek yang lengkap berpakaian tradisional Melayu, Jawa dan Bali itu turut menarik perhatian kira-kira 30 Pembantu Pengajaran Bahasa Inggeris (ETA) dari Amerika Syarikat yang ditugaskan di tiga negeri Pantai Timur - Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Mereka tidak melepaskan peluang mencuba bermain alatan muzik berkenaan dan turut mengambil bahagian sebagai penari latar dengan hanya menjalani latihan spontan tidak sampai sejam.

Seorang daripada pembantu guru tersebut, Alexandra Hunt, 23, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerantut, Pahang berkata: “Saya minati program ini, ia cukup menarik, saya paling suka melihat setiap orang berpakaian indah dan menari.

“Saya tak pernah dengar tentang gamelan sebelum ini. Saya ingin belajar lebih mendalam kerana ia sungguh mempesona,” kata gadis dari Indiana itu.

Rakannya, Benjamin Perez, 24, yang ditempatkan di SMK Temangan, Kelantan teruja dengan persembahan tersebut dan berpeluang menjadi penari latar lengkap berpakaian songket Melayu, berwarna merah jambu persis seorang pengantin baharu.

“Saya amat teruja dan seronok hari ini, oleh kerana ini kali pertama saya menyaksikan persembahan kemudian menyertai kumpulan penari, saya ‘cool’ saja.

“Saya ada satu baju melayu di rumah,,, tapi yang ini begitu warna warni, mungkin bila saya kahwin, saya akan pakai sepasang seperti ini,” kata pemuda dari Texas itu. - Bernama