Krisis AMK: Ribut dalam cawan atau ulangan kartel 2.0?

Kemelut kepimpinan dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dipercayai berpunca daripada pertembungan antara kumpulan pro-Anwar dan kem pemimpin dikuasai Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Kemelut kepimpinan dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dipercayai berpunca daripada pertembungan antara kumpulan pro-Anwar dan kem pemimpin dikuasai Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.
A
A
A

TIADA angin, tiada ribut. Tiba-tiba Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikejutkan dengan berita kemelut kepimpinan sayap pemudanya, Angkatan Muda Keadilan (AMK) sejak dua minggu lalu.

Kali terakhir parti ditunjangi Datuk Seri Anwar Ibrahim itu terpaksa mengharungi gelora besar krisis kepimpinan adalah pada Februari tahun 2020.

Hal ini susulan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama 10 ahli Parlimen PKR memutuskan untuk meninggalkan parti bagi menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Minggu lalu, Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bertindak menggugurkan enam pemimpin sayap parti itu iaitu bekas Naib Ketua AMK, Syed Badli Shah Syed Osman; bekas Ketua AMK Selangor, Najwan Halimi; bekas Ketua AMK Perlis, Azam Karap; bekas Penolong Setiausaha AMK, Muhammad Naqib Nasruddin; bekas Timbalan Pengarah Strategik PKR, Fakhrul Razi Zailan dan bekas Ketua Biro Pelajar AMK, Shahrul Nizam.

Akmal Nasir
Akmal Nasir

Memandangkan Kongres Nasional PKR ke-15 baru-baru ini meluluskan usul memanjangkan tempoh sesi kepimpinan 2018/2021 memegang jawatan parti sehingga tahun 2023, Akmal Nasrullah menegaskan rombakan dibuat semata-mata bertujuan membentuk barisan pelapis dan bukan berasaskan percaturan politik.

Namun, keputusan Ahli Parlimen Johor Bahru itu dilihat menimbulkan kemarahan pemimpin-pemimpin AMK di peringkat cabang.

Sejumlah 21 daripada 33 cabang AMK di negeri Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan secara terbuka menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Akmal Nasrullah dan menuntut satu mesyuarat agung tahunan luar biasa (EGM) AMK diadakan bagi membenarkan proses pemilihan ketua AMK baharu dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Lebih mengejutkan, Sinar Harian difahamkan sejumlah 115 daripada keseluruhan 137 cabang AMK di seluruh negara dijangka menolak kepimpinan Akmal Nasrullah, yang disifatkan sebagai 'lemah, tidak efektif dan cuba mensabotaj perancangan Anwar.

Justeru, persoalan lebih besar, adakah krisis melanda AMK Pusat ketika ini sekadar ribut dalam cawan atau pengulangan episod pengkhianatan 'gunting dalam lipatan'2.0 selepas kartel Azmin?

Pada saat peluang Anwar dilihat sangat cerah untuk diangkat sebagai Perdana Menteri baharu (hanya sekiranya usul undi tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri diterima Speaker Parlimen dan UMNO bersetuju bekerjasama dengan PH), kemunculan krisis-krisis sebegini adalah perkara yang perlu dielakkan.

Mohamad Hairul Amir
Mohamad Hairul Amir

Perkara itu diperakui Ketua AMK Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri yang menegaskan fokus parti seharusnya tertumpu kepada usaha meningkatkan imej Anwar dan PKR di mata rakyat, terutama pada saat mereka derita sewaktu mendepani krisis Covid-19.

Jelas beliau, keputusan rombakan jawatan AMK juga dianggap tidak sesuai pada waktunya kerana dibimbangi memberi persepsi salah kepada ahli-ahli akar umbi.

“Semua orang tahu selepas ketiadaan Azmin, parti sepatutnya berjalan dengan lebih baik. Namun apabila krisis timbul, semua ahli terkejut dan tidak kurang ada yang marah.

“Mereka beranggapan tindakan sebegini seolah-olah cuba mensabotaj usaha Presiden parti untuk menekan kerajaan PN dan memperkuatkan parti bagi menghadapi PRU15.

“Sebagai pemimpin berkecuali, saya tidak mahu perpecahan dalam parti dan saya memohon Akmal untuk kembali berbincang dengan mereka yang digugurkan serta membuat satu keputusan terbaik untuk organisasi parti itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pandangan Mohamad Hairul Amir dipersetujui Najwan yang menyatakan kesediaan beliau untuk berbincang semeja bersama Akmal Nasrullah bagi menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat antara mereka.

Najwan
Najwan

Ujar Najwan, sehingga hari ini, beliau masih tidak mengetahui punca utama digugurkan dan berpandangan keputusan Akmal itu membelakangkan pucuk kepimpinan peringkat cabang dan negeri.

“Bila Ketua AMK tidak memberikan alasan pengguguran kukuh, anggota di bawah merasakan ada sesuatu tidak kena dan merasakan keputusan itu tidak mengikut proses sewajarnya.

“Lagipun, bukan sahaja ketua-ketua AMK cabang di Selangor sahaja menyokong saya, bahkan majoriti ketua AMK cabang negeri lain pun bersimpati dengan nasib saya.

“Bagi saya pada saat krisis Covid-19 dan rakyat terkesan teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sepatutnya bukan masa untuk sesiapa bermain politik dan mencantas rakan parti sendiri, sebaliknya tumpukan perhatian kepada isu rakyat terdesak,” katanya.

Ditanya mengenai tuntutan 21 cabang AMK dari tiga negeri mendesak EGM AMK diadakan segera, Najwan berkeyakinan perkara itu akan mendapat perhatian Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, selaras dengan Perkara 11 Peraturan AMK.

Polemik perbalahan yang timbul di antara Akmal Nasrullah dan kumpulan pemimpin AMK digugurkan sebenarnya tidak sekadar berkisar mengenai masalah dalaman sayap PKR itu semata-mata.

Sebaliknya, Sinar Harian difahamkan krisis tercetus itu merupakan refleksi pertembungan di antara kumpulan pro-Anwar dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli di peringkat pucuk kepimpinan parti, seolah-olah membayangi pertembungan Anwar-Azmin sebelum ini.

Sumber dalaman PKR menjelaskan Rafizi, yang disokong Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, seolah-olah cuba menguasai kepimpinan PKR dan Anwar sendiri dalam menentukan hala tuju parti selepas ketiadaan Azmin.

“Meskipun Rafizi menjarakkan diri daripada parti, majoriti ahli MPP PKR Pusat sebenarnya dikuasai oleh beliau, termasuk pucuk kepimpinan AMK bagi membolehkan beliau menjadi mastermind di belakang tabir.

“Bagaimanapun, kem Rafizi ini tidak berpuas hati dengan kumpulan'baju hitam' menyokong Presiden PKR yang sering berbeza pendapat dengan beliau. Lalu, secara tersirat, beliau sering menyerang kumpulan ini dengan mereka digambarkan sebagai 'budak bermasalah'.

"Rafizi seolah-olah melihat kumpulan 'baju hitam' ini sebagai ancaman yang kononnya mahu merosakkan reputasi Anwar. Namun, kumpulan ini pula menganggap Rafizi berpotensi menjadi 'gunting dalam lipatan' 2.0 selepas Azmin,” kata sumber terdekat PKR Pusat.

Lih Kang
Lih Kang

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang menegaskan mesyuarat Biro Politik PKR yang diadakan pada Rabu memutuskan keputusan rombakan dibuat Ketua AMK adalah kekal.

Beliau turut menegaskan proses pertukaran jawatan dalam AMK tidak menimbulkan krisis, sebaliknya satu amalan biasa parti memandangkan jawatan disandang kesemua pemimpin digugurkan adalah jawatan lantikan.

"Saya tidak nampak ada isu kabilah sebab yang lantik mereka yang telah digugurkan adalah ketua AMK sendiri," katanya.

Lih Kang turut menjelaskan tuntutan sebilangan AMK cabang negeri supaya EGM AMK diadakan bagi memilih ketua AMK juga tidak pernah dikemukakan secara rasmi.

Tambah beliau, sehingga kini, Biro Politik PKR tidak menerima apa-apa surat tuntutan dengan hasrat mereka hanya dikemukakan menerusi kenyataan media.

"Sekiranya EGM AMK diluluskan MPP sekalipun, inisiatif itu tidak boleh menukar Ketua AMK sedia ada melainkan beliau melanggar disiplin parti.

"Sebagai solusi, pucuk kepimpinan parti akan berjumpa dengan kedua-dua pihak dan meminta mereka bersabar. Jangan sampai tindakan diambil mereka mencederakan imej parti," katanya.