Prisma: Hampir 14,000 permohonan babit nilai RM48.8 juta diluluskan

Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 13,712 permohonan membabitkan dana bernilai RM48.8 juta diluluskan di bawah program Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) setakat Khamis, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, permohonan itu melibatkan 19,000 pekerjaan untuk kesemua 32 program yang dibuka di bawah inisiatif yang dilancarkan pada 5 Februari lepas, antara lain bagi menyokong penggiat seni yang terkesan teruk oleh pandemik Covid-19.

Katanya, Prisma terbuka kepada empat kategori iaitu penggiat industri filem; muzik; kandungan kreatif digital serta penggiat seni visual; persembahan dan kraf.

“Sejumlah RM89.2 juta disediakan di bawah peruntukan sedia ada untuk melaksanakan 32 program di bawah kementerian, Radio Televisyen Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, MyCreative Ventures dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bagi menyokong industri berkenaan, Saifuddin berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 8,000 penerima.

Menurutnya, mereka termasuk penyanyi, pemuzik, pelakon, penulis skrip, pencipta lagu, penggiat teater, artis seni persembahan, kraf, syarikat penerbitan serta kru produksi dan teknikal di belakang tabir.

Dianggarkan 35,000 pekerjaan bakal diwujudkan menerusi peruntukan itu, justeru beliau menyeru para penggiat seni mengambil peluang memohon program-program yang masih dibuka melalui laman web kementerian di www.kkmm.gov.my/awam/prisma dan laman web agensi-agensi berkaitan. - Bernama

Artikel Berkaitan: