Beberapa jalan utama di Klang Utara ditutup

Peta lokasi penutupan jalan bagi kawasan IPD Klang Utara serta laluan alternatif pengguna jalan raya pada Sabtu.
Peta lokasi penutupan jalan bagi kawasan IPD Klang Utara serta laluan alternatif pengguna jalan raya pada Sabtu.
A
A
A

KLANG - Beberapa jalan-jalan utama di kawasan Klang Utara akan ditutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, penutupan itu sejajar dengan arahan kerajaan bagi melaksanakan PKPD di beberapa lokaliti di Kuala Selangor dan Kuala Lumpur.

"Beberapa penambahan penutupan jalan akan melibatkan Kilometer 3.5 Jalan Shapadu lama melibatkan laluan alternatif iaitu Lebuhraya Shapadu Selat Klang Baru-Kapar, Meru-Klang-Setia Alam-Shah Alam.

"Selain itu penutupan turut melibatkan Kilometer 3.7 Jalan Shapadu lama ke Rantau Panjang melibatkan laluan alternatif antaranya Jalan Shapadu lama-Jalan Kapar-Lebuhraya Shapadu dan Jalan Paip/Jalan Bukit Cerakah melibatkan laluan alternatif antaranya dari Shah Alam yang akan dilencongkan ke jalan Bukit Cerakah-Jalan Meru tambahan-Pekan Meru dari Jalan Paip akan u-turn semula ke Pekan Meru," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Nurulhuda berkata, langkah ini diambil untuk membendung penularan wabak Covid-19.

"Masyarakat dinasihatkan agar sentiasa mematuhi PKPD dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan

"Tindakan tegas dan kompaun dikenakan sekiranya tidak patuh kepada SOP PKPD yang ditetapkan," katanya.

Pada Khamis, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 Julai sehingga 16 Julai 2021.

Artikel Berkaitan:

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat pembentangan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai situasi Covid-19 di dua negeri tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Selangor, KL kena PKPD selama 14 hari