Harapan melihat Harimau Malaya terus wujud

WWF Malaysia meramalkan Harimau Malaya akan pupus dalam tempoh 10 tahun sekiranya tiada usaha menyelamatkannya diambil segera.
WWF Malaysia meramalkan Harimau Malaya akan pupus dalam tempoh 10 tahun sekiranya tiada usaha menyelamatkannya diambil segera.
A
A
A

SEJAK dahulu, harimau menjadi lambang kebanggaan Malaysia. Haiwan yang menggambarkan simbol keberanian dan kekuasaan itu tertera pada Jata Negara, malah pasukan bola sepak negara juga dikenali sebagai Harimau Malaya.

Daripada sembilan spesies harimau, hanya enam yang masih wujud di 13 negara di dunia. Harimau Malaya atau nama saintifiknya panthera tuhris jacksoni hanya boleh didapati di Semenanjung Malaysia.

Walaupun kira-kira 3,000 ekor harimau masih wujud di seluruh dunia, namun timbul kebimbangan Harimau Malaya yang sinonim dengan Malaysia akan pupus seperti tiga spesies lain iaitu Harimau Bali, Jawa dan Kaspia.

Dianggarkan sekitar 250 hingga 300 ekor sahaja Harimau Malaya liar masih wujud ketika ini, atau mungkin kurang daripada itu berbanding sebanyak 3,000 ekor sekitar tahun 1950-an.

WWF Malaysia turut meramalkan haiwan berstatus spesies terancam itu akan pupus dalam tempoh 10 tahun sekiranya tiada usaha menyelamatkannya diambil segera.

Selain pemburuan haram, penerokaan hutan menjadi salah satu faktor Harimau Malaya terus berkurangan.

Apabila hutan diteroka, habitat harimau semakin mengecil menyebabkan haiwan berkenaan keluar mencari makanan di tempat lain. Apabila masuk ke kawasan manusia, harimau dibunuh.

Baru-baru ini, lima ekor harimau melibatkan seekor ibu dan empat ekor anak kembali marayau di sebuah ladang sawit di Felda Kerteh 4, Dungun. Mungkin bagi penduduk di kampung, kedatangan haiwan tersebut sebagai ancaman. Namun, ambillah secara positif bahawa ia merupakan harapan kepada kita untuk mengelak Harimau Malaya pupus.

Artikel Berkaitan:

Walaupun pelbagai kempen diadakan untuk menyelamatkan haiwan berkenaan, paling penting sebenarnya adalah mengawal aktiviti penerokaan hutan.

Kita tidak mahu suatu hari nanti haiwan lambang kebanggaan negara hanya tinggal lambang atau sekadar lukisan.

Bimbang generasi akan datang tidak dapat membezakan antara harimau dengan kucing hutan.