Sejuta vaksin AstraZeneca tiba dari Jepun

Hiroshi Oka (tengah) bersama Hishammuddin (kiri) dan Khairy menyaksikan ketibaan vaksin Astrazeneca sumbangan kerajaan Jepun di KLIA pada Khamis. - Foto Bernama
Hiroshi Oka (tengah) bersama Hishammuddin (kiri) dan Khairy menyaksikan ketibaan vaksin Astrazeneca sumbangan kerajaan Jepun di KLIA pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Malaysia menerima lagi sejuta dos vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca sumbangan dari kerajaan Jepun bagi meningkatkan keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Bekalan vaksin berkenaan tiba di Pintu C32 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Japan Airline JAL723 (Boeing 787) pada 5.20 petang Khamis.

Menyaksikan ketibaan bekalan vaksin itu, Duta Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ketibaan bekalan pada Khamis sekali gus menjadikan jumlah vaksin keluaran AstraZeneca yang diterima oleh Malaysia adalah sebanyak 1,828,000 dos sehingga 1 Julai.

Sebelum itu, Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan menghadiri penghantaran vaksin di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Chiba, Jepun pada 10.20 pagi (waktu Malaysia).

Bekalan vaksin AstraZeneca yang disumbang oleh kerajaan Jepun tiba melalui pesawat Boeing 787 milik Japan Airlines di KLIA pada Khamis. - Foto Bernama
Bekalan vaksin AstraZeneca yang disumbang oleh kerajaan Jepun tiba melalui pesawat Boeing 787 milik Japan Airlines di KLIA pada Khamis. - Foto Bernama

Vaksin AstraZeneca yang diterima pada Khamis akan dihantar ke pusat penyimpanan vaksin (PPS) di Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Sarawak di bawah PICK.

Jepun telah bersetuju menyumbang jumlah yang sama vaksin AstraZeneca kepada Filipina, Thailand dan Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Oka berkata, sumbangan vaksin daripada Jepun kepada Malaysia adalah simbol terbaharu persahabatan yang terjalin antara kedua-dua negara.

“Dalam perutusannya kepada Perdana Menteri, Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga berkata sumbangan itu adalah tanda persahabatan yang erat antara Jepun dan Malaysia,” kata Oka yang menurutnya tahun depan menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Jepun-Malaysia serta ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur. - Bernama