Perkongsian data: Kerajaan boleh belajar daripada syarikat swasta

Saifuddin Abdullah -Foto Bernama
Saifuddin Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan boleh belajar daripada pengalaman syarikat telekomunikasi swasta dalam melaksanakan perkongsian data dan mendemokrasikan data untuk kegunaan rakyat dengan cara yang lebih baik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, Malaysia perlu memandang ke hadapan dalam mengukuhkan usaha menangani keselamatan siber bagi membolehkan negara mempercepatkan kemajuan teknologi, terutamanya perkongsian data.

“Di sini, saya melihat Telekom Malaysia Bhd (TM) dan pihak-pihak lain juga boleh membantu kerajaan.

“Namun, ini tentulah akan diterima oleh sesetengah pihak dengan lega apabila mereka tahu soal keselamatan siber negara terjamin,” katanya semasa majlis pemeteraian Memorandum Kolaborasi (MoC) antara CyberSecurity Malaysia (CSM) dan TM yang diadakan secara maya, pada Khamis.

Saifuddin berkata, Malaysia sememangnya mempunyai pengalaman dalam kalangan pihak swasta yang mana mereka berupaya untuk menghasilkan data, berkongsi data serta mengoptimumkan penggunaan data bukan sahaja untuk kegunaan rakyat, malah bagi keuntungan syarikat itu sendiri.

Mengenai MoC tersebut, beliau berkata, ia adalah sejajar dengan Program Pemerkasaan Keselamatan Siber (SiberKASA) yang berperanan membangun, memperkasa, memperkukuh serta melestarikan prasarana dan ekosistem keselamatan siber di Malaysia.

MoC tersebut ditandatangani secara maya oleh Ketua Pegawai Eksekutif CSM Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM serta disaksikan oleh Saifuddin, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah CSM Jen (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed serta pengerusi TM Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

“Program ini bertujuan untuk memastikan keselamatan sistem rangkaian dan kesiapsiagaan tenaga kerja dalam menangani ancaman dan serangan siber yang semakin kompleks, dinamik dan canggih di Malaysia dan seluruh dunia,” kata Saifuddin.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, statistik yang dilaporkan melalui Pusat Bantuan Cyber 999 kendalian CSM menunjukkan jumlah kes keselamatan siber telah meningkat dengan tiga insiden tertinggi sehingga Mei 2021, iaitu penipuan (70 peratus), pencerobohan (17 peratus) dan kod berbahaya (enam peratus).

“Insya-ALLAH, minggu hadapan Menteri Pertahanan akan membentangkan kertas kabinet mengenai Dasar Keselamatan Negara yang baharu dan dalam dasar baharu itu memang secara spesifik disebut bahawa satu daripada teras yang sangat penting ialah keselamatan siber,” katanya.

Sementara itu, Mohd Bakke berkata, MoC tersebut akan membolehkan kedua-dua pihak meningkatkan kemampuan sektor awam dan perniagaan bagi menangkis serangan siber dari seluruh pelosok dunia dan menjadikan keselamatan siber sebagai teras utama ke arah ekonomi digital, kerajaan digital dan masyarakat digital yang lestari.

Mohd Azumi pula berkata, prinsip dan mekanisme kolaborasi itu akan membolehkan kedua-dua entiti bergabung dan mendapat manfaat daripada teknologi dan kepakaran masing-masing serta bertindak sebagai rakan strategik komersial di peringkat domestik dan antarabangsa.

Kolaborasi strategik ini juga adalah untuk meneroka pembangunan keupayaan pemantauan keselamatan yang dipertingkatkan dengan memanfaatkan infrastruktur awan TM ONE yang lengkap, katanya.- Bernama