Jangan malu kibarkan bendera putih

Nicole semasa berbual dengan keluarga wanita yang lumpuh separuh badan.
Nicole semasa berbual dengan keluarga wanita yang lumpuh separuh badan.
A
A
A

SEREMBAN - Individu yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 dan memerlukan bantuan diharap tidak malu untuk kibarkan bendera putih.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan Lee Koon berkata, kempen tersebut sangat disokong bagi membantu mereka yang memerlukan.

Menurutnya, individu yang tidak mengetahui nombor telefon wakil rakyat mereka atau Pusat Khidmat DUN, bolehlah mengibarkan bendera putih untuk dapatkan bantuan.

"Kibarkanlah bendera putih jika ada individu yang memerlukan bantuan, jangan malu untuk dapatkan bantuan.

"Diharap jiran atau saudara mara yang tahu sesiapa yang kibarkan bendera putih, sila maklumkan kepada kami, wakil rakyat setempat atau ketua masyarakat bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada mereka dengan segera.

"Kami tidak sempat untuk meninjau di semua tempat kerana kawasan terlalu besar, jadi kalau ada sesiapa nampak orang kibarkan bendera putih, maklumkan segera kepada kami dan setiap masyarakat perlu peka dengan situasi ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni seorang wanita yang lumpuh separuh badan di Seremban Jaya dekat sini pada Khamis.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Seremban Jaya, P Gunasekaran.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nicole Tan berkata, sejak PKP Penuh ini, hampir lima kali ganda permohonan bantuan bakul makanan telah diterima pihaknya.

Jelasnya, sebanyak 1,500 bakul makanan sumbangan kerajaan negeri berserta baucer bernilai RM100 telah habis diagihkan kepada mereka yang memerlukan di kawasan DUN Bukit Kepayang.

"Walaupun baucer sudah habis tetapi bantuan tetap akan diteruskan, jika ada pihak yang perlukan bantuan makanan segara hubungi Pusat Khidmat DUN masing-masing untuk dapatkan bantuan," katanya.

Beliau turut memberitahu sehingga Jun, seramai 8,230 penerima telah menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) dengan jumlah keseluruhan RM3.3 juta.