741 calon STPM 2020 dapat PNGK 4.00

Seramai 741 calon mendapat PNGK 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020.
Seramai 741 calon mendapat PNGK 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seramai 741 daripada 42,988 calon mendapat purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020.

Ahli Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, daripada jumlah itu seramai 554 calon atau 74.76 peratus adalah golongan B40.

"Bilangan calon yang mendapat PNGK 4.00 ini berkurangan sebanyak 61 calon daripada 802 calon yang mendapat PNGK 4.00 pada 2019.

"Daripada 741 calon itu juga, 23 calon mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil dan 718 calon mendapat 4A," katanya pada sidang media pengumuman keputusan STPM 2020 yang berlangsung secara maya pada Khamis.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Ketua Eksekutif MPM, Mohd Fauzi Mohd Kassim.

Wahid (kiri) mengumumkan keputusan SPTM 2020 ketika sidang media secara maya pada Khamis.
Wahid (kiri) mengumumkan keputusan SPTM 2020 ketika sidang media secara maya pada Khamis.

Mengulas lanjut, Wahid yang juga Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagaimanapun berkata, dari segi pencapaian keseluruhan calon, PNGK nasional STPM 2020 meningkat dari 2.77 pada 2019 kepada 2.78 pada 2020.

"Pencapaian ini dianggap masih sama dengan pencapaian calon STPM 2019 kerana perbezaan peningkatan yang sangat kecil iaitu hanya 0.01 mata.

Artikel Berkaitan:

"Perbezaan peningkatan ini tidak menggambarkan signifikan yang besar kepada pencapaian calon STPM 2020 secara keseluruhan berbanding dengan calon STPM 2019," katanya.

Beliau menjelaskan, pencapaian PNGK calon secara keseluruhannya juga menunjukkan peratusan longgokan calon pada PNGK 3.09 ke atas meningkat daripada 33.45 peratus atau 14,994 calon pada 2019 kepada 33.69 peratus atau 14,482 calon pada 2020.

"Peratusan longgokan calon pada PNGK 3.00 hingga 2.00 pula menurun daripada 51.81 peratus (23,221 calon) kepada 50.97 peratus (21,910 calon) berbanding pada tahun lalu.

"Walaupun terdapat kenaikan dan penurunan pada PNGK calon keseluruhannya, Insya-ALLAH saya tetap yakin bahawa peluang lepasan STPM yang akan diterima masuk ke universiti awam masih besar seperti tahun-tahun sebelumnya," katanya.

Dari segi perbandingan pencapaian PNGK calon bandar dengan calon luar bandar, Wahid memberitahu, PNGK calon bandar masih mengatasi calon luar bandar dengan PNGK masing-masing 2.80 dan 2.78.

Katanya, perbezaan jurang pencapaian antara bandar dengan luar bandar itu sama seperti peperiksaan STPM 2019 iaitu sebanyak 0.02 mata.

Menyentuh mengenai prestasi mengikut mata pelajaran, beliau berkata, kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 70 peratus iaitu gred C dan ke atas.

Ujarnya, satu mata pelajaran menunjukkan peningkatan dalam prestasi lulus penuh berbanding dengan prestasi pada tahun sebelumnya melebihi 3 peratus, iaitu mata pelajaran Literature in English.

"Satu lagi mata pelajaran iaitu Matematik Tambahan pula menunjukkan penurunan dalam prestasi lulus penuh berbanding dengan prestasi pada tahun sebelumnya melebihi 3 peratus.

"Sebanyak 21 mata pelajaran lain dianggap tidak berubah prestasinya kerana beza peratusan calon yang lulus penuh antara 2020 dengan 2019 adalah kurang daripada 3 peratus.

"Dalam STPM 2020 juga mata pelajaran Tahfiz Al-Quran telah ditawarkan buat pertama kali dan pencapaian calon amat membanggakan kerana daripada 69 calon yang menduduki kertas ini, 63 daripadanya telah berjaya menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran," katanya.