Ibu tunggal kibar bendera putih demi beras

Rohaya menerima sumbangan yang disampaikan oleh Muhammad Abdul Munib (kiri) di rumah sewanya di Kampung Pantai Kundor.
Rohaya menerima sumbangan yang disampaikan oleh Muhammad Abdul Munib (kiri) di rumah sewanya di Kampung Pantai Kundor.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal terpaksa mengibarkan bendera putih di hadapan rumahnya di Kampung Pantai Kundor di sini pada Rabu selepas tiga hari kehabisan bekalan beras.

Ibu kepada enam cahaya mata itu, Rohaya Che Samah, 50, berkata, tindakan itu dilakukan selepas dia bersama anak bongsunya hanya bertahan dengan biskut kering.

"Saya selalu berkongsi kehidupan harian dengan adik yang berada di Kuala Lumpur dan dia mencadangkan saya agar mengibarkan bendera putih sebagai tanda meminta bantuan.

"Kebetulan saya baharu sahaja lima bulan menyewa di sini dan tidak mengenali sesiapa untuk meminta bantuan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Selepas beberapa jam mengibarkan bendera putih dan tular di laman sosial menerusi perkongsian jirannya di Facebook, Rohaya telah menerima sumbangan makanan daripada jiran tetangga.

Bercerita lanjut, Rohaya berkata, dia kini menyewa satu ruangan kecil berserta kemudahan bilik air dengan sewa bulanan sebanyak RM150 selepas mendapat pekerjaan sebagai pewarna kain batik di kampung terbabit.

Katanya, sebelum ini dia yang bekerja sebagai pembantu kedai terpaksa 'berhenti' susulan pandemik Covid-19 dan kini tinggal bersama anak bongsunya yang berusia 14 tahun serta masih bersekolah.

Artikel Berkaitan:

Rohaya menunjukkan bekalan beras rumahnya yang sudah kehabisan sejak tiga hari lalu.
Rohaya menunjukkan bekalan beras rumahnya yang sudah kehabisan sejak tiga hari lalu.

"Empat lagi anak-anak saya tidak tinggal bersama, mereka sudah berhijrah dan bekerja di kilang dan juga yang bekerja sebagai sebagai pembantu kedai. Mereka juga terkesan dengan wabak Covid-19 ini serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi sukar untuk mereka membantu saya di sini.

"Malah ada di antara mereka yang positif Covid-19 sehingga tidak boleh bekerja, itu yang menyebabkan kehidupan kami dua beranak semakin tertekan," katanya.

Dalam pada itu, Rohaya turut memberitahu bahawa dia juga tidak menerima sebarang bantuan walaupun sudah lima tahun bergelar ibu tunggal kerana masalah pendaftaran perkahwinan yang sebelum ini berlangsung di negara jiran.

Katanya, dia hanya mendapat upah sekitar RM14 sehari bergantung kepada berapa banyak kain yang dapat disiapkan dengan upah mewarna batik RM2 bagi setiap helai kain.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Muhammad Abdul Munib Zakaria dan Penghulu Mukim Pulau Kundor, Rosli Mat Hussin turut hadir ke rumahnya menghulurkan bantuan wang tunai, barangan dapur dan bertanyakan khabar.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui CIMB 7050-96-8844 di atas nama Rohaya Che Samah.