X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Masalah teknikal terus belenggu Hafizh Syahrin

Hafizh Syahrin. - Foto FB NTS RW Racing GP
A
A

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui masalah teknikal pada jenteranya mengakibatkan prestasi beliau tidak menentu pada saingan kejuaraan tersebut musim ini.

Prestasi pelumba NTS RW Racing itu, sebelum ini menunjukkan peningkatan apabila berjaya meraih tempat kesembilan pada perlumbaan Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello pada 30 Mei lepas.

Namun, beliau sekali lagi berdepan kekecewaan susulan masalah pada jentera di GP Belanda di Litar Assen pada Ahad lepas, sekali gus sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-23.

“Selepas perlumbaan di Mugello, jentera saya ada masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan di GP Jerman (20 Jun) dan Assen, saya kurang puas hati dengan pencapaian saya sendiri, saya bekerja keras bersama pasukan, cuma tuah tiada di pihak saya pada perlumbaan di Assen baru-baru ini.

“Masalah di FP (latihan bebas) 1, 15 minit lagi nak habis perlumbaan, enjin motor saya berhenti disebabkan masalah teknikal, saya tak boleh perbaiki kedudukan sebab semasa FP 2 hujan, pertama kali saya berlumba dalam hujan dengan jentera itu.

“Di FP 3, litar kering tapi semua pelumba dah meningkat daripada FP 1, saya juga sama tapi tidak sebanyak dilakukan pelumba-pelumba di hadapan,” kata pelumba berusia 27 tahun itu pada sidang media secara maya, pada Rabu.

Namun, beliau berazam dapat memperbaiki prestasinya pada baki saingan musim ini, bermula dengan saingan di Austria pada 8 Ogos, sambil berharap masalah pada jenteranya dapat diatasi menjelang perlumbaan tersebut.

Sementara itu, Hafizh Syahrin menjadi atlet permotoran pertama negara yang menjalani kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN) Kampung Pandan, selepas bekas pelumba Moto2 Zulfahmi Khairuddin meminta kerajaan membenarkan atlet sukan berkenaan menjalani kuarantin seperti atlet-atlet Olimpik.

Setiausaha Agung Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) Muizz Azli berkata, langkah itu bagi memastikan pelumba dapat mengekalkan momentum dan menjalani latihan dalam tempoh kuarantin wajib itu.

“Bagi atlet sukan permotoran, tidak banyak aktiviti dapat dilaksanakan sekarang, tetapi aktiviti di luar negara berjalan dengan lancar, jadi apa yang MAM boleh tolong ialah dari segi kuarantin untuk memastikan mereka boleh terus berlatih semasa kuarantin, maka momentum itu sentiasa ada untuk buat yang terbaik.

“Mereka diletakkan di Pusat Latihan MSN, di sana mereka boleh menggunakan fasiliti sukan seperti gimnasium, kolam renang dan kekal aktif walaupun menjalani kuarantin,” jelasnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!