X

Kindly register in order to view this article
!

Aksem dibubarkan, tugas diambil alih PDRM: Hamzah

Hamzah (dua dari kiri) ketika sidang media bersempena pelaksanaan rasionalisasi Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di Bukit Aman hari ini. Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) yang ditubuhkan pada Disember 2017 dibubarkan dan tugas-tugas agensi berkenaan diambil alih sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tugas-tugas berkenaan dipertanggungjawabkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Mac lepas telah bersetuju dengan cadangan rasionalisasi Aksem menerusi penstrukturan semula serta diletakkan di bawah PDRM. Selain itu, Akta Aksem 2017 (Akta 799) akan dimansuhkan setelah proses penstrukturan ini dilaksanakan.

“Pelaksanaan penstrukturan semula Aksem ke dalam PDRM akan dilaksanakan secara berfasa mulai hari ini sehingga 30 September tahun ini,” katanya dalam sidang media majlis penyerahan tugas Aksem kepada PDRM di Bukit Aman di sini pada Rabu.

Beliau berkata, penstrukturan semula Aksem merangkumi aspek peranan, penyerahan aset, penjajaran semula perjawatan dan sumber manusia serta pengurusan kewangan dan perolehan.

Hamzah berkata pelaksanaan penstrukturan semula secara berperingkat ini adalah bagi memastikan tidak berlaku kelompongan dan seterusnya memberi kesan negatif kepada keselamatan sempadan negara.

Beliau berkata, pelan rasionalisasi Aksem itu akan memberi kesan positif kepada pengurusan keselamatan sempadan negara apabila kekuatan sedia ada Aksem digabungkan bersama PDRM bagi memperkasakan fungsi dan peranan agensi penguatkuasaan keselamatan di sempadan darat negara.

“Rasionalisasi Aksem ini juga akan membuka ruang yang lebih luas kepada tanggungjawab pengawalan sempadan negara ke seluruh negara kerana sebelum ini dengan kekuatan sedia ada Aksem hanya mampu menumpukan pengawalan sempadan darat di empat negeri sahaja iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan,” katanya.

Menurut beliau, fungsi pengawalan keselamatan di sempadan negara yang lain dilaksanakan PGA termasuklah ke kawasan pesisir pantai dan pulau-pulau di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Dengan pelaksanaan pelan berkenaan, kata Hamzah KDN yakin dapat memantapkan lagi kawalan sempadan darat negara secara keseluruhannya melalui sinergi baharu kawalan sempadan yang diselia PDRM.

Mengulas mengenai perjawatan yang sedia ada dalam Aksem, Hamzah berkata Aksem ketika ini mempunyai 900 perjawatan.

Jelas Hamzah, perjawatan Aksem antaranya melibatkan gabungan Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam namun apabila Aksem dirasionalisasikan perjawatan kedua-dua jabatan berkenaan akan kembali kepada jabatan masing-masing seperti sediakala.

Selain itu, jelas beliau sepanjang penubuhan Aksem, agensi berkenaan menumpaskan pelbagai kegiatan jenayah antaranya penyeludupan rokok, dadah, kenderaan klon, mengekang kemasukan pendatang tanpa izin dan penyeludupan orang.

Sejak penubuhannya hingga 2019, Aksem merampas barangan bernilai RM145.52 juta melibatkan 2,400 kes.

Turut hadir Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!