Lebih tiga bilion sudah divaksin

India sedang berusaha untuk mempercepatkan program vaksinasi di negara itu yang berdepan ancaman varian Delta. - Foto: AFP
India sedang berusaha untuk mempercepatkan program vaksinasi di negara itu yang berdepan ancaman varian Delta. - Foto: AFP
A
A
A

PARIS - Lebih tiga bilion dos vaksin Covid-19 telah diberikan di seluruh dunia, menurut data AFP pada Selasa ketika kebanyakan negara antarabangsa sedang bergelut untuk membendung penularan varian Delta yang mencetuskan lonjakan kes jangkitan.

Angka korban pandemik itu juga telah mencecah 3.9 juta orang walaupun beberapa negara kaya berjaya mengawal kes jangkitan susulan kejayaan program vaksinasi yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu.

Setakat ini, negara kaya atau berpendapatan tinggi sudah menvaksin secara purata 79 dos per 100 penduduk yang menyaksikan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Israel mendahului kempen inokulasi tersebut.

Di negara berpendapatan rendah, kadar imunisasi masih rendah iaitu satu dos per 100 penduduk.

Para Menteri Luar G20 dalam satu kenyataan turut menekankan kepentingan kerjasama global dalam menghadapi pandemik Covid-19 dan ancaman virus bermutasi yang lebih berbahaya.

"Kerjasama pelbagai hala menjadi kunci kemampuan kolektif kita untuk menghentikan krisis kesihatan global ini," ujar Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken.

Sebelum ini, pemimpin negara G7 berjanji untuk mendermakan sehingga satu bilion dos vaksin Covid-19 kepada negara miskin, namun ia terus berdepan kritikan kerana didakwa lambat menyalurkan bantuan. - AFP

Artikel Berkaitan: