3 pegawai imigresen KLIA didenda terima suapan

Pegawai Imigresen Danny Supil, 42, (kiri) dan Mohd Syahmi Sapawi, 22, (tengah) yang ditahan menerusi Op Selat dihadapkan Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah hari ini. -Foto Bernama
Pegawai Imigresen Danny Supil, 42, (kiri) dan Mohd Syahmi Sapawi, 22, (tengah) yang ditahan menerusi Op Selat dihadapkan Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga pegawai imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didenda antara RM9,000 dan RM28,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menerima rasuah bagi melepaskan warganegara asing tanpa proses yang betul.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM28,000 terhadap Mohammad Zulkiah Ibrahim, 29; manakala Mohd Syahmi Sapawi, 22, didenda RM9,000 dan Danny Supil, 42, sebanyak RM2,500 serta penjara satu hingga lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Rozilah berkata, tertuduh sepatutnya menjalankan amanah untuk menjaga pintu masuk negara kerana keselamatan negara boleh tergugat jika warga asing dibenarkan masuk tanpa proses yang betul.

“Kamu mempunyai akal, kamu harus melaporkan kegiatan rasuah itu kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana kamu memegang amanah menjaga pintu masuk negara," katanya.

Mengikut fakta kes, SPRM telah menyita 21 barang yang dibeli hasil wang rasuah tersebut antaranya telefon bimbit jenis Iphone 11 Pro Max dan Oppo Reno, sebuah beg jenama Coach, dua utas jam tangan G-Shock, sepasang cincin dan lapan kasut jenama Adidas Yeezy.

Mohd Syahmi menghadapi tiga pertuduhan iaitu sebagai pegawai Gred KP 19, didakwa menerima suapan yang kesemuanya berjumlah RM8,000 manakala Mohammad Zulkiah yang juga pegawai gred sama dituduh atas satu pertuduhan menerima suapan RM7,000 dan Danny pegawai Gred KP 22 didakwa menerima rasuah RM200.

Kesemua tertuduh yang ditahan dalam Ops Selat tahun lepas didakwa menerima wang tersebut daripada individu berbeza bagi membantu melepaskan warga asing termasuk dari China, tanpa melalui proses dan prosedur yang betul.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu masing-masing di sebuah bank dan pejabat Imigresen KLIA dalam tempoh 2018 hingga 2020 mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab manakala Mohammad Zulkiah dan Danny diwakili peguam Abdul Halem Mohamad Husin dan Mohamad Fauzi Mat Zin manakala Mohd Syahmi tidak diwakil peguam. - Bernama