X

Kindly register in order to view this article
!

Dua beranak rentas negeri bawa dadah bernilai lebih RM23 juta

Razarudin (dua dari kanan) dan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah bernilai RM23.7 juta.
A
A

IPOH - Polis Perak berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa apabila merampas 448 kilogram (kg) syabu dan ketamin bernilai lebih RM23.7 juta dalam pemeriksaan di KM7 Jalan Gerik - Jeli, Gerik pada Sabtu lalu.

Cubaan dua beranak mengedar dadah merentasi negeri dari Kelantan dengan menaiki trak tunda untuk menunda kenderaan mewah jenis Toyota Alphard gagal apabila mereka ditahan anggota yang menjalankan rondaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, suspek berusia 27 dan 58 tahun ditahan apabila semakan terhadap nombor pendaftaran kereta berkenaan didaftarkan atas kenderaan lain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 447 bungkusan dadah bernilai RM23,728,850 disembunyikan dalam kenderaan terbabit.

"Kita menemui methamphetamine seberat 404kg bernilai RM20.2 juta dan ketamin seberat 44.3kg bernilai RM3.5 juta dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 2.2 juta penagih dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Selasa.

Menurut beliau, pihaknya percaya dadah berkenaan diperoleh dari kawasan segi emas berkenaan dan diseludup masuk melalui sempadan Thailand.

"Dadah ini dipercaya untuk kegunaan tempatan dan diseludup keluar ke negara jiran termasuk Indonesia, Korea Selatan serta Australia.

"Dengan tangkapan ini sekurang-kurangnya dapat memutuskan bekalan dadah dan dalang-dalang ini sudah ada dalam radar pemantauan kita untuk diambil tindakan seterusnya," katanya.

Razarudin berkata, penggunaan perkhidmatan trak penunda dikenalpasti sebagai modus operandi terbaharu yang digunakan sindiket untuk mengedar dadah.

"Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai penunda kereta didakwa menerima upah daripada pihak tidak dikenali yang mahu menggunakan perkhidmatan mereka di Kelantan.

"Justeru itu, saya meminta kepada semua ketua polis untuk buat pemeriksaan 100 peratus terhadap trak-trak penunda ini," katanya.

Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM19,672.

"Kedua-dua suspek didapati negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!