Beri penerangan terbaik kebaikan vaksin: Tun Siti Hasmah

Tun Siti Hasmah
Tun Siti Hasmah
A
A
A

LANGKAWI - Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menyeru pengamal perubatan dan jururawat untuk memberikan nasihat sebaik mungkin kepada ibu bapa mengenai kepentingan suntikan vaksin untuk kebaikan kesihatan anak-anak mereka.

Siti Hasmah berkata, beliau mengetahui ada dalam kalangan ibu bapa yang bersikap antivaksin dan enggan membenarkan anak-anak mereka disuntik kerana pelbagai faktor dan kepercayaan.

“Ada ibu bapa yang beranggapan tidak perlu vaksin sebab anak-anak mereka akan membesar dan membina imunisasi secara natural (semula jadi), tapi tidak bolehlah ibu bapa tunggu sehingga anak-anak itu ada imunisasi.

“Takkan kita nak tengok nanti berlaku sesuatu kepada anak kita kerana kesan daripada lambat atau tidak diberi vaksin seperti lumpuh dan sebagainya,” katanya ketika melawat kakitangan dan jururawat di Klinik Kesihatan Ayer Hangat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan seorang jururawat yang bertanya tentang tip untuk menasihatkan ibu bapa yang enggan membenarkan anak-anak mereka terutama yang baru dilahirkan disuntik vaksin.

Siti Hasmah berkata, ibu bapa yang bersikap antivaksin ini selalunya akibat kurang pengetahuan mengenai kepentingan vaksin atau mendapat maklumat daripada sumber yang tidak tepat.

“Ada yang memberi pandangan daripada sudut agama bahawa ia haram dan ada juga yang beranggapan vaksin ini akan memberi 'side effect' kepada anak mereka.

“Bukan kita bagi vaksin kemudian anak itu demam, itu bukanlah bahaya ‘side effect’ kerana vaksin ini untuk mencegah penyakit yang lebih berbahaya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurutnya, masyarakat Malaysia terutama orang Melayu memang terkenal dengan pelbagai amalan perubatan dan kepercayaan secara tradisional, namun perlu mendapatkan fakta dan maklumat tepat mengenainya.

“Kita orang Melayu banyak amalan, macam mengurut badan itu memang baik, tapi amalan lain yang mencurigakan mungkin kena siasat dahulu dan dapatkan maklumat terperinci,” katanya. - Bernama