Kerana hutang RM30 lelaki didenda RM1,000 rosakkan gril pintu jiran

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didapati melakukan khianat dengan merosakkan pintu gril rumah jirannya.
Mengikut pertuduhan, pemuda itu didapati melakukan khianat dengan merosakkan pintu gril rumah jirannya.
A
A
A

PETALING JAYA - Gara-gara berang gagal tuntut hutang RM30, seorang penganggur didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin kerana merosakkan gril pintu rumah jirannya minggu lalu.

T M Saifullah Ibrahim, 33, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret M Barath.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima hari jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didapati melakukan khianat dengan merosakkan pintu gril rumah milik S Kathiravan, 46, dengan nilai kerugian sebanyak RM139.

Kesalahan dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Jalan SS 1/39, Seksyen 22 di sini antara 7 hingga 7.30 malam, 21 Jun lalu.

Atas kesalahan itu dia boleh dihukum di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 12 bulan atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada jam 8.30 malam, 20 Jun lalu, semasa pengadu (Kathiravan) berada di rumah, berlaku perselisihan faham dengan tertuduh, kerana pengadu berhutang sebanyak RM30.

Keesokan hari pada jam 7.30 malam, selepas isteri pengadu pulang ke rumah, dia mendapati gril berkenaan rosak dan mengesyaki ia dilakukan oleh tertuduh malah siasatan polis mendapati, tertuduh mengaku melakukan kerosakan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu mahkamah mengurangkan hukuman kerana perlu menyara ibu bapa.

"Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sudah setahun saya tidak bekerja," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.