Berang ditegur cakap kuat, lelaki tetak rakan serumah

Polis turut merampas sebilah parang panjang lebih kurang 37.7 sentimeter dipercayai digunakan suspek untuk menetak rakan serumahnya. - Foto Ihsan PDRM
Polis turut merampas sebilah parang panjang lebih kurang 37.7 sentimeter dipercayai digunakan suspek untuk menetak rakan serumahnya. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang pembantu kedai perabot ditetak tiga kali di kepala menggunakan parang oleh rakan serumahnya dalam satu pergaduhan di Taman Nusa Bestari di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian dua lelaki bergaduh dalam rumah tersebut pada jam 5.15 petang.

"Sampai di lokasi tersebut didapati sorang individu telah berlumuran darah. Kejadian berlaku di tingkat tiga dalam sebuah rumah di taman tersebut.

"Punca kejadian apabila suspek tidak mahu menerima teguran mangsa untuk memperlahankan nada suara semasa bercakap kerana mangsa sedang berbual melalui telefon dalam biliknya.

"Apabila mangsa keluar dari biliknya, suspek mendekati mangsa dan mengeluarkan parang dari dalam seluarnya lalu terus menetak mangsa di bahagian kepala sebanyak tiga kali," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Katanya, mangsa yang berumur 37 tahun dan mempunyai 15 rekod berkaitan dadah kemudian melarikan diri dan turun ke tingkat bawah.

Mangsa katanya, kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru serta berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, berpandukan maklumat awam dan saksi di tempat kejadian pihak polis berjaya menahan suspek yang berumur 23 tahun di lokasi sama.

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan awal suspek merupakan seorang pekerja kilang dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Ujian saringan air kencing ke atas suspek dijalankan adalah negatif dan bebas daripada sebarang pengaruh dadah," katanya.

Menurutnya, pihak polis turut merampas sebilah parang panjang lebih kurang 37.7 sentimeter.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke mahkamah Johor Bahru pada Isnin untuk proses tahanan reman," katanya.