Gagal patuhi SOP: RM2.14 juta kompaun dalam tempoh 26 hari

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Bahagian Penguat Kuasanya mengeluarkan sebanyak 388 kompaun keseluruhan bernilai RM2.14 juta kerana kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sekatan pergerakan penuh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Bahagian Penguat Kuasanya melalui satu kenyataan berkata, kesemua 388 kompaun dikeluarkan itu hasil daripada pemeriksaan ke atas 44,903 syarikat dan individu dalam tempoh 26 hari mulai 1 Jun lalu sehingga Sabtu.

Jelas kenyataan itu, berdasarkan statistik, sebanyak 132 aduan diterima daripada orang awam sejak 1 hingga 26 Jun lalu dan kesemuanya telah disiasat sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh PKP 3.0.

"KPDNHEP sebagai salah satu agensi yang diberi kuasa untuk menguatkuasakan pematuhan SOP PKP dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak akan berkompromi dengan mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun ke atas mana-mana syarikat atau individu yang melanggar pematuhan SOP yang berkuat kuasa.

"​Kementerian juga menyarankan agar semua pemain industri di bawah sektor perdagangan pengedaran khususnya untuk memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya oleh pekerja dan pelanggan masing-masing.

"Pemilik premis perniagaan hendaklah sentiasa proaktif, peka dan memastikan pematuhan SOP sentiasa berada di tahap yang maksimum bagi memastikan keselamatan premis masing-masing dan orang ramai dapat terpelihara di samping tidak mewujudkan kluster baharu Covid-19 di bawah sektor perdagangan pengedaran," kata kenyataan itu pada Ahad.

Mengulas lanjut katanya, kerjasama semua pihak dalam sektor perdagangan khususnya pengedaran perlu diperkukuh untuk mengimbangi kelangsungan ekonomi domestik negara dan mengawal penularan Covid-19 serta memastikan kesihatan rakyat terus terjamin.

"Bagi memastikan SOP PKP 3.0 Sektor Perdagangan Pengedaran semasa sekatan pergerakan penuh ini dilaksanakan dengan efektif, kementerian telah menggerakkan seramai 2,262 orang pegawai penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Ia bagi memastikan pematuhan sepenuhnya SOP yang ditetapkan ini di semua premis perniagaan peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran," katanya.