X

Kindly register in order to view this article
!

Hilang insan tersayang penguat semangat bantu perangi Covid-19

Tuan Mohd Khosim (kiri) bersama rakan setugasnya memakai PPE sebelum menghantar barangan keperluan kepada penghuni pusat kuarantin Covid-19 di IPG Kampus Dato’ Razali Ismail. - Foto Bernama
A
A

KUALA NERUS - Di sebalik raut wajah yang tenang ketika menjalankan tugas di pusat kuarantin Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail di sini, tiada siapa menduga seorang sukarelawannya menyimpan kisah duka kerana kehilangan insan tersayang akibat virus Covid-19, dua minggu lalu.

Bagi sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tuan Mohd Khosim Tuan Yusof, 48, pemergian bapa angkat yang memeliharanya sejak kecil, Wan Hanafi Wan Yusof, 71, pada 12 Jun lalu di Hospital Selayang, Selangor dijadikan penguat semangat berkhidmat di pusat kuarantin tersebut bagi membantu mangsa wabak itu.

Menceritakan pengalaman sedih itu, guru Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Kebangsaan Guntong di Setiu berkata, segalanya berlaku dalam sekelip mata apabila virus itu turut menjangkiti tujuh ahli keluarganya yang tinggal di Selangor termasuk ibu angkatnya Munirah Yusof, 65.

Tuan Mohd Khosim
Tuan Mohd Khosim

“Selain emak, kedua-dua adik perempuan dan adik lelaki saya bersama pasangan masing-masing dan dua anak saudara saya disahkan positif Covid-19.

“Kami pun tidak tahu bagaimana wabak tersebut ‘masuk’ ke dalam keluarga kami hingga menyebabkan ayah ‘pergi’,” katanya yang mesra dipanggil Cikgu Khosim ketika ditemui di pusat kuarantin itu.

Beliau yang berasal dari Rawang, Selangor berkata, arwah bapa angkatnya disahkan positif Covid-19 dua minggu sebelum Aidilfitri, setelah menjalani ujian saringan untuk kemasukan ke wad bagi menjalani pembedahan akibat komplikasi buah pinggang.

Setelah disahkan positif Covid-19, katanya mereka sekeluarga tidak lagi dapat berjumpa dengannya sehinggalah jenazah ayahnya dikebumikan dan dia juga tidak dapat pulang berikutan larangan rentas negeri disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai APM Kuala Nerus Kapten (PA) Zahidi Zainudin (kanan) bertanyakan sesuatu kepada Tuan Mohd Khosim (kiri) sambil diperhatikan rakan setugas Nor Suraya Alias, 36, di pusat kuarantin Covid-19 Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail baru-baru ini. - Foto Bernama
Pegawai APM Kuala Nerus Kapten (PA) Zahidi Zainudin (kanan) bertanyakan sesuatu kepada Tuan Mohd Khosim (kiri) sambil diperhatikan rakan setugas Nor Suraya Alias, 36, di pusat kuarantin Covid-19 Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail baru-baru ini. - Foto Bernama

Berikutan ‘kehilangan’ tersebut, bapa kepada tiga anak itu berazam membantu kerajaan mengekang penularan Covid-19 dengan bertugas menjaga kebajikan penghuni di pusat kuarantin berkenaan, jasa yang kelihatan kecil, tetapi amat besar maknanya kepada mereka yang terpaksa bertarung dengan virus itu.

Pada masa yang sama, sebagai seorang pendidik dia juga sentiasa berkongsi kejadian yang menimpa keluarganya kepada pelajar supaya mereka mengambil iktibar tentang bahayanya penularan Covid-19 dan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Saya sering katakan kita tidak boleh ‘lari’ daripada Covid-19 sebab ia kini ada di sekeliling kita, namun apa yang kita boleh lakukan adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan lakukan semua yang diarahkan oleh kerajaan seperti jangan keluar ke mana-mana sekiranya tiada urusan penting,” katanya. - Bernama

Tuan Mohd Khosim (kiri) bersama rakan setugasnya menghantar air minuman untuk diberikan kepada penghuni pusat kuarantin Covid-19 di IPG Kampus Dato’ Razali Ismail. - Foto Bernama
Tuan Mohd Khosim (kiri) bersama rakan setugasnya menghantar air minuman untuk diberikan kepada penghuni pusat kuarantin Covid-19 di IPG Kampus Dato’ Razali Ismail. - Foto Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!