Lima beradik bakal dapat rumah baharu

Muhammad Sanusi (tengah) mendengar taklimat daripada Zakaria (kanan) berhubung pembinaan Pusat Pendidikan Asnaf Zakat Kedah di Kampung Batu Seketol, Sik, Kedah pada Sabtu.
Muhammad Sanusi (tengah) mendengar taklimat daripada Zakaria (kanan) berhubung pembinaan Pusat Pendidikan Asnaf Zakat Kedah di Kampung Batu Seketol, Sik, Kedah pada Sabtu.
A
A
A

SIK - Lima beradik yang hilang tempat bergantung selepas kematian ibu di Kampung Pasir Puteh, Tualak, Padang Terap pada Jumaat dijangka berpindah ke rumah baharu setelah siap, September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman berkata, pihaknya akan mendirikan sebuah rumah dengan kos mencecah RM45,000 yang dijadualkan mengambil masa lebih dua bulan.

Menurut beliau, buat sementara waktu, kesemua lima beradik itu akan tinggal bersama nenek mereka sehingga kerja-kerja pembinaan rumah baharu siap.

"Kita sudah buat siasatan dengan penolong amil, jadi kita buat keputusan untuk membina sebuah rumah dengan kos RM45,000 di belakang rumah nenek mereka.

"Proses mendapatkan status tanah telah selesai semalam (Jumaat) dan hari ini (Sabtu) kerja-kerja penambakan sedang berjalan," katanya.

Beliau ditemui ketika mengiringi Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor melawat tapak Pusat Pendidikan Asnaf Zakat Kedah di Kampung Batu Seketol di sini pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Mama pesan jaga adik-adik, jangan berpisah'

Syeikh Zakaria berkata, LZNK juga sedang berbincang untuk menempatkan lima beradik itu di asrama bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi bantuan, LZNK akan menyelaraskan bantuan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berikutan ibu mereka sebelum ini merupakan penerima bantuan wang bulanan JKM," katanya.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan lima beradik dari Kampung Pasir Puteh, Tualak, Padang Terap hilang tempat bergantung setelah ibu mereka, Norhashimah Abdul Majid, 43, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Anak sulung, Nurfarra Asyikin Norazmi, 20, yang bertugas sebagai anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terpaksa menjaga adik-adiknya iaitu Mohd Hafiq Ridzuan, 18; Nur Anis Amira, 15; Nuraina Amalyna, 12, dan Nurshafinas Fareha, 4.