Sindiket penipuan jual barangan tidak wujud tumpas

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, Perak, Kedah dan Kelantan pada Jumaat.
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, Perak, Kedah dan Kelantan pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket penipuan yang menjual barangan tidak wujud kepada pelanggan menerusi dalam talian.

Sindiket yang dipercayai sudah beroperasi sejak Mac lalu menawarkan pelbagai barangan berharga seperti telefon bimbit, tablet dan permainan video PlayStation 4, kesemuanya berjenama terkenal bagi mengaburi pengguna.

Bagaimanapun, sindiket berkenaan tumpas apabila 10 individu yang merupakan dalang sindiket diberkas Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menerusi serbuan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, Perak, Kedah dan Kelantan pada Jumaat.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan itu dipercayai dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 28 kes berkaitan jenayah terbabit.

"Dalam serbuan itu, polis menahan enam lelaki dan empat wanita warga tempatan berumur 21 hingga 52 tahun. Empat daripada mereka merupakan pemilik akaun, manakala enam lagi suspek dikenal pasti sebagai pemilik alamat IP yang digunakan untuk menipu mangsa," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pelbagai peralatan digunakan bagi menjalankan aktiviti penipuan itu turut dirampas.

"Antara yang dirampas ialah tujuh telefon bimbit, tiga komputer riba, 10 keping kad kredit, tiga modem, satu monitor dan satu pasport negara Bangladesh.

"Suspek dipercayai mengiklankan barangan mereka melalui platform dalam talian. Pembeli yang berminat akan dihubungi dan diarahkan untuk berurusan secara terus dengan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Setelah bayaran dibuat, barangan yang dijanjikan bagaimanapun tidak diterima," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara satu sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali," katanya.