X

Kindly register in order to view this article
!

Teksi percuma ke PPV di Simpang Renggam

Antara warga emas yang menggunakan khidmat teksi percuma ke PPV yang dijayakan Pusat Khidmat Rakyat Simpang Renggam.
A
A

KLUANG - Pusat Khidmat Rakyat Simpang Renggam mengambil inisiatif menjayakan Khidmat Teksi Percuma ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi membantu mereka yang uzur, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang tidak mempunyai kenderaan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, perkhidmatan pengangkutan itu bukan sahaja dapat membantu pemandu teksi yang terjejas pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah turut membantu penduduk yang menghadapi kesulitan untuk pergi ke PPV.

"Berbekalkan sumbangan daripada dana yang dikumpulkan, kita membayarkan pemandu-pemandu teksi untuk setiap trip mengambil dan menghantar pulang mereka yang dijadualkan untuk menerima vaksin dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Bagi menjayakan program ini, kita bekerjasama dengan Persatuan Pemandu Kereta Sewa dan Teksi Simpang Renggam. Setakat ini, lebih 50 rakyat di Parlimen ini telah mendapat manfaat daripada khidmat teksi percuma tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Golongan OKU turut dibantu untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV.
Golongan OKU turut dibantu untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV.

Sementara itu, Maszlee berkata, pemandu kereta sewa dan teksi antara golongan yang terkesan teruk sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

"Saya pernah memperjuangkan nasib mereka di Parlimen. Pada 8 Disember 2020, saya meminta Menteri Pengangkutan dan Menteri Kewangan memberikan insentif kepada para pemandu teksi serta kereta sewa.

"Alhamdulillah, mereka telah diberikan insentif secara ‘one off’ iaitu sekali beri melalui Belanjawan 2021. Bagaimanapun, ia tidak cukup kerana pendapatan mereka masih lagi terjejas terutamanya sejak PKP 3.0 bermula. Sebab itu kita mulakan inisiatif ini," ujarnya.

Maszlee turut berterima kasih dengan inisiatif beberapa parti politik yang turut sama menyediakan kenderaan bagi mengangkut penerima vaksin ke PPV.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat, apa sahaja inisiatif yang dibuat mestilah mempunyai kesan serampang dua mata kepada rakyat.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!