Jun Hoong layak ke Olimpik berita gembira buat kontinjen negara

Jun Hoong
Jun Hoong
A
A
A

PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan keputusan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) yang mengesahkan atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong, 31, layak ke Sukan Olimpik Tokyo dilihat sebagai berita yang menggembirakan buat kontinjen negara.

Menurut Mohamad Norza, keputusan berhubung perkara berkenaan yang diterima menerusi emel pada Jumaat diharap dapat menyuntik semangat buat Jun Hoong meneruskan latihan menjelang temasya sukan terbesar dunia itu Julai depan.

“Pada 23 Jun lalu, kita telah dimaklumkan bahawa hanya 12 kuota diperuntukkan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo, sedangkan Jun Hoong sebelum itu telah pun mengesahkan slot ke berdasarkan slot 18 atlet.

“Susulan itu, kita telah mengemukakan rayuan kepada pihak Jawatankuasa Olimpik (IOC) berhubung perkara berkenaan dan semalam (Jumaat), kita terima keputusan daripada FINA yang mengatakan Jun Hoong layak ke Olimpik Tokyo, berdasarkan kepada pencapaiannya pada Kejohanan Terjun Dunia FINA 2021, Mei lalu.

“Oleh itu, diharapkan Jun Hoong kembali bersemangat untuk meneruskan latihan selepas ini sebagai persediaannya untuk ke Olimpik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Pada 23 Jun FINA memutuskan Jun Hoong tidak layak ke Olimpik perubahan dalam peraturan kelayakan yang dikeluarkan FINA pada 12 Mei menyaksikan hanya 12 kuota diperuntukkan untuk ke Sukan Olimpik berdasarkan kepada keputusan pada kejohanan berkenaan berbanding 18 kuota sebelum ini.

Bagaimanapun, keputusan daripada FINA telah menyalakan semula harapan untuk menyaksikan meraih kilauan pingat daripada sukan terjun pada Sukan Olimpik kali ini Pandalela Rinong, Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri mengesahkan slot lebih awal.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi kenyataan di laman facebook Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut berharap agar Jun Hoong dapat mengekalkan prestasi, iltizam serta semangat juang tinggi pada Sukan Olimpik Tokyo, nanti.

Artikel Berkaitan:

“Saya telah diberi maklum oleh Majlis Olimpik Malaysia pada lewat malam tadi (Jumaat), bahawa pihak FINA telah mengesahkan bahawa Jun Hoong layak untuk ke Olimpik Tokyo 2020 berdasarkan merit ranking 18 terbaik yang dicapai oleh beliau semasa FINA Diving World Cup 2021 yang berlangsung di Jepun pada Mei lalu.

“Alhamdulillah, ini juga sekaligus melengkapkan barisan atlet skuad terjun negara yang telah layak seperti Pandelela, Mun Yee, Yan Yee dan Nur Dhabitah.

“Terima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia dan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) atas usaha serta kerja keras dalam memastikan skuad terjun negara sentiasa memberikan pencapaian yang terbaik dan mendapat tempat selayaknya secara merit.

Teruskan usaha dan berikan yang terbaik semasa temasya Olimpik nanti. Saya yakin dengan prestasi serta kemampuan anda semua,” katanya.