X

Kindly register in order to view this article
!

Didiagnos positif Covid-19 selama 10 bulan berturut-turut

Smith dilaporkan positif 43 kali dan dimasukkan ke hospital sebanyak tujuh kali. - Foto Agensi
A
A

LONDON - Seorang lelaki berusia 72 tahun di United Kingdom (UK) mencipta rekod kes jangkitan berterusan paling lama setelah dia didiagnos positif Covid-19 selama 10 bulan berturut-turut, menurut penyelidik pada Khamis.

Bekas pengajar sekolah memandu, Dave Smith dari Bristol di barat England itu dilaporkan positif 43 kali dan dimasukkan ke hospital sebanyak tujuh kali.

Jelas isterinya yang turut menjalani kuarantin bersamanya, mereka juga tidak menyangka dapat melalui saat getir itu selama setahun.

Sementara itu, perunding penyakit berjangkit di University of Bristol and North Bristol National Health Service Trust, Dr Ed Moran berkata, keadaan itu disebabkan Smith mempunyai virus aktif dalam tubuhnya.

Difahamkan, Smith disahkan sembuh selepas menerima rawatan koktel antibodi sintetik yang dihasilkan firma bioteknologi dari Amerika Syarikat (AS), Regeneron.

Dia turut meraikan keputusan ujian negatif itu bersama isterinya setelah 45 hari mendapatkan rawatan koktel itu dan kira-kira 305 hari selepas pertama kali disahkan positif Covid-19.

Kes Smith kini sedang diteliti ahli virologi, Andrew Davidson di University of Bristol selepas rawatan yang diterimanya bagaimanapun bukan sebahagian daripada ujian perubatan rasmi.

Dia juga dikatakan mempunyai rekod penyakit paru-paru dan sembuh daripada leukemia yang dihidapinya ketika dijangkiti Covid-19 pada Mac tahun lalu.

Susulan kes luar biasa itu, kertas laporan berhubung kes Smith akan dibentangkan di Kongres Eropah Mikrobiologi Klinikal dan Penyakit Berjangkit pada bulan depan. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!