Mazlan Lazim dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

Hamzah (kiri) dan Acryl Sani memakaikan pangkat Timbalan Ketua Polis Negara kepada Mazlan pada majlis penyerahan watikah lantikan itu di Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Foto Bernama
Hamzah (kiri) dan Acryl Sani memakaikan pangkat Timbalan Ketua Polis Negara kepada Mazlan pada majlis penyerahan watikah lantikan itu di Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyerahkan watikah pelantikan itu pada sidang akhbar di Pejabat Kementerian Dalam Negeri pada Jumaat.

Menurutnya, pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Bagi pihak kerajaan, patik menjunjung setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Seri Paduka Baginda terhadap pelantikan ini.

"Diucapkan tahniah dan syabas kepada Mazlan kerana dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Negara," katanya.

Pelantikan Mazlan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Datuk Seri Acryl Sani Abdullah yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara.

Hamzah menyerahkan watikah pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara kepada Mazlan di Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Foto Bernama
Hamzah menyerahkan watikah pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara kepada Mazlan di Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Foto Bernama

Mazlan, 59, memiliki kelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi Sumber.

Artikel Berkaitan:

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Kelantan sebelum dilantik mengetuai kontinjen itu, Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Polis Kuala Lumpur.

Anak kelahiran Kuala Kedah, Kedah itu juga pernah dilantik sebagai Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, beliau menyandang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman.