Isu LTSAAS: Menteri Kewangan akan beri penerangan

Isu berhubung penjualan atau pajakan LTSAAS akan diperjelaskan oleh Menteri Kewangan selepas ini.
Isu berhubung penjualan atau pajakan LTSAAS akan diperjelaskan oleh Menteri Kewangan selepas ini.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan memberi penerangan lanjut berhubung isu penjualan atau pajakan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Tengku Zafrul sebelum ini susulan terdapat banyak laporan disiarkan membabitkan isu tersebut.

Katanya, setiap pihak juga boleh merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) sebelum ini berhubung perkara itu.

"Saya nak jawab secara jelas, sila baca kenyataan MOT sebelum ini.

"Kedua, apa juga status terkini, saya sudah berbincang dengan Menteri Kewangan kerana banyak laporan dipetik sana sini dan beliau sendiri akan beri penerangan," katanya ketika ditanya pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sektor Pengangkutan (Maritim) Pelabuhan Klang pada Jumaat.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Khamis menyelar tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang cuba untuk menjual atau memajak LTSAAS.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan benarkan pihak lain ambil alih LTSAAS: Pengerusi MAHB

Menurut beliau, kerajaan tidak boleh terlalu mudah untuk menjual aset itu memandangkan pemilikan lapangan terbang tersebut di bawah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

7 Mei lalu, MOT menerusi satu kenyataan berkata, cadangan untuk membangunkan semula LTSAAS masih berada dalam peringkat awal dan sebarang keputusan akhir akan diputuskan oleh kabinet.

"Adalah menjadi kebiasaan bagi pasaran untuk mengemukakan kertas cadangan kepada pihak kerajaan melalui kementerian berkaitan bagi mengembangkan aset baharu atau sedia ada," katanya.