X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Kerajaan tangani krisis Covid-19 dengan bertanggungjawab

Gambar hiasan - Foto Fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menangani krisis Covid-19 dengan bertanggungjawab dan pendekatan itu telah diiktiraf oleh S&P Global Ratings menerusi pengesahan penarafan kredit berdaulat negara, demikian menurut Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata, walaupun kerajaan telah meningkatkan had statutori hutang sehingga 60 peratus, ia melindungi perbelanjaannya pada tahap bertanggungjawab untuk bertindak balas kepada krisis itu.

“Pengesahan S&P menunjukkan kita masih lagi bekerja dalam had dasar yang munasabah demi ekonomi yang berdaya tahan,” katanya menerusi program Breakfast Grille stesen radio BFM pada Khamis.

Baru-baru ini, S&P mengekalkan penarafan terbitan jangka panjang Malaysia berdenominasi mata wang asing pada A- dan ringgit pada A, dengan prospek negatif.

Agensi penarafan itu berkata, penarafan itu mencerminkan kekukuhan kedudukan sektor luaran Malaysia, dasar monetari yang fleksibel dan keupayaan menyokong kemampanan pertumbuhan ekonomi, walaupun peningkatan stok hutang kerajaan negara dan penentuan kadar fiskal yang sedang berkembang menjejaskan kekuatan ini.

Ketika ditanya mengenai kedudukan fiskal Malaysia, Johan berkata, aspek terpenting pada masa ini adalah memastikan sokongan yang cukup terhadap industri, kecukupan kapasiti sistem penjagaan kesihatan untuk bertindak terhadap krisis kesihatan serta kesinambungan perniagaan bagi mereka yang terkesan akibat pandemik ini.

“Inilah yang kami utamakan. Sehubungan itu, mungkin terdapat beberapa fleksibiliti dari segi menguruskan defisit, terutamanya untuk tempoh yang masih berbaki tahun ini,” katanya.

Menurut Johan, kerajaan pada awalnya meramalkan defisit belanjawan sebanyak 5.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) di bawah Belanjawan 2021, namun mengubah semula sasaran defisit itu kepada enam peratus.

Sementara itu, Johan turut menyentuh mengenai Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang ditubuhkan pada akhir 1980-an demi kebaikan generasi akan datang.

“Sekiranya krisis sekali dalam seumur hidup ini bukanlah faktor yang baik untuk menggunakan KWAN, saya tidak tahu bagaimana,” katanya.

Sehingga 31 Disember 2020, dana itu telah memiliki nilai aset berjumlah RM19.5 bilion, merangkumi RM10.4 bilion daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan RM9.1 bilion bagi pulangan pelaburan yang dbuat oleh gergasi minyak dan gas itu.

Johan berkata, kerajaan hanya menggunakan RM5 bilion daripadanya dan tidak akan menggunakan jumlah prinsipal yang disumbangkan Petronas.

“Mengapa perlu meminjam lebih banyak sedangkan ada dana yang mungkin tersedia? Ini akan menjadi kegunaan yang baik bagi dana tertentu dalam krisis dan kecemasan tertentu,” katanya.

Johan berkata, Singapura turut mengeluarkan rizab tunainya, manakala Norway membuat pengeluaran daripada rizab minyak.

“Mereka menggunakan rizab mereka dan ia amat munasabah untuk berbuat demikian semasa krisis ini,” katanya.

Mengenai Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan baru-baru ini, beliau berkata, krisis Covid-19 telah menjadi satu proses pembelajaran yang berpanjangan.

“Kadangkala, saya berpendapat, risiko kita membuat sesuatu pengumuman dengan lebih awal sehingga kita benar-benar mempunyai pemahaman yang lebih baik, ialah, kita kemudiannya perlu membuat perubahan terhadap apa yang telah diputuskan.

“Kini, selepas mencapai satu tahap pemahaman tertentu setelah lebih setahun memerangi pandemik ini, kerajaan merasa cukup baik untuk mengumumkan (pelan itu),” katanya.

Pelan Pemulihan Negara adalah strategi peralihan keluar daripada krisis Covid-19 merangkumi empat fasa, dan peralihan daripada setiap fasa kepada fasa seterusnya adalah berdasarkan data daripada tiga indikator ambang utama.

Sejak penularan pandemik ini pada tahun lepas, kerajaan telah melancarkan tujuh pakej rangsangan ekonomi dengan gabungan nilai RM380 bilion.

Empat pakej telah diumumkan pada 2020 -- Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion, Prihatin PKS Tambahan bernilai RM10 bilion, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM35 bilion dan Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (Kita Prihatin) bernilai RM10 bilion.

Pada tahun ini, kerajaan mengumumkan tiga lagi pakej rangsangan iaitu Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion, Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion dan Pakej Rangsangan Pemerkasa Tambahan bernilai RM40 bilion. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!