Pemain Portugal perlu cergas berdepan Belgium

Ronaldo menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti ketika berdepan Perancis bagi menyamai rekod 109 gol yang dilakukan bekas pemain antarabangsa, Iran, Ali Daie. - Foto EPA
Ronaldo menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti ketika berdepan Perancis bagi menyamai rekod 109 gol yang dilakukan bekas pemain antarabangsa, Iran, Ali Daie. - Foto EPA
A
A
A

PENGENDALI Portugal, Fernando Santos mahu memastikan skuad kendaliannya itu cergas sepenuhnya bagi berdepan pasukan ranking nombor 1 dunia, Belgium pada saingan kalah mati Euro 2020.

Menurut Santos, dia juga mahu memastikan pemain-pemain A Selecao itu pulih daripada kecederaan agar dapat menurunkan kesebelasan terbaik berdepan skuad The Red Devils itu.

“Selaku juara bertahan, pasukan ini telah beraksi bersungguh-sungguh pada perlawanan terakhir Kumpulan F bagi mencatat keputusan seri 2-2 dengan Perancis, namun ia hanya menyaksikan kami menamatkan saingan pada kedudukan ketiga.

“Kedudukan ini membuatkan kami bakal berdepan juara Kumpulan B, Belgium pada saingan kalah mati nanti dan oleh itu saya mahu pemain mendapatkan rehat secukupnya untuk kembali cergas menjelang perlawanan berkenaan.

“Kami juga akan mengkaji mengenai kekuatan serta kelemahan Belgium kerana kami tahu kami akan berdepan dengan perlawanan yang berintensiti tinggi,” katanya.

Sementara itu, Santos berbangga dengan aksi yang ditunjukkan oleh semua pemain Portugal ketika berdepan Perancis di Arena Puskas, pada awal pagi Khamis.

Justeru, Santos turut berharap semoga aksi berkenaan dapat diteruskan pada saingan kalah mati nanti dalam usaha menjamin kejayaan skuad A Selecao itu.

Artikel Berkaitan:

Fernando Santos
Fernando Santos

“Mereka (pemain) telah beraksi bersungguh-sungguh mencari kemenangan biarpun mengetahui berdepan risiko untuk tersingkir daripada Euro 2020, sekiranya tewas.

“Mereka telah membuktikannya. Apa yang penting sekarang adalah untuk mengekalkan kualiti permainan kami dan beraksi sebaik mungkin bagi mencatatkan kemenangan,” katanya.

Untuk rekod, aksi Portugal dan Belgium itu juga bakal membuka peluang buat kapten Portugal, Cristiano Ronaldo untuk mencatat sejarah selaku pemain yang menjaringkan gol terbanyak pada peringkat antarabangsa.

Setakat ini difahamkan, Ronaldo telah menjaringkan 109 gol dan menyamai rekod bekas pemain antarabangsa Iran, Ali Daei.