ATM mampu sumbang perubatan, kesihatan sekiranya diperlukan

Jeneral Tan Sri Affendi Buang
Jeneral Tan Sri Affendi Buang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan hanya mampu memelihara kedaulatan dan menjaga keselamatan negara malah berupaya menyumbang dari segi perubatan dan kesihatan sekiranya diperlukan ketika negara dilanda wabak Covid-19.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ATM bagaikan ‘kerajaan kecil’ yang ada semua keperluan namun keupayaan ATM dalam sektor perubatan tidaklah sebesar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihaknya dalam kesediaan tertinggi memberikan perkhidmatan terbaik.

Beliau berkata, ini terbukti apabila ATM membina Hospital Medan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) tahun lepas bagi menampung kekurangan katil dan unit rawatan rapi (ICU) terutamanya untuk warga asing yang disyaki menghidap Covid-19 di samping kes-kes dilihat semakin meningkat.

“Keupayaan kami dalam bidang perubatan ini tidak besar, tapi memberi banyak kelegaan kerana ATM beri beberapa ICU pada masa tepat, keadaan yang sesuai dan boleh disediakan dengan segera. Ia adalah mengenai hidup dan mati.

“Apabila kes meningkat, dan ketika keperluan untuk tambah fasiliti perubatan datang dengan mendadak, ATM ada (fasiliti perubatan yang boleh dikongsikan) dan kami bersedia untuk tujuan itu. Ini dalah satu usaha ketika perang kami (di samping menjaga keselamatan negara),” katanya dalam Wacana Akademi Professor, Temu Bual Bersama Panglima ATM: Impak Covid-19 kepada pertahanan dan keselamatan negara di sini baru-baru ini.

Affendi berkata, apabila terbinanya Hospital Medan di MAEPS itu, ATM bukan hanya menyediakan keperluan perubatan bahkan dari segi keselamatan yang melibatkan bukan sahaja warga asing tetapi pendatang tanpa izin.

“Cabaran-cabaran lain (selain perubatan) ialah keselamatan sebab ia melibatkan pendatang tanpa izin dan ada juga kes jenayah, jadi kita menyediakan keselamatan sebagai sebahagian daripadanya,” katanya.

Beliau berkata, ini adalah sebahagian daripada kesiapsiagaan ATM dalam Pasukan Petugas Kebangsaan yang menambahkan lagi keberkesanan dalam menghadapi peperangan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah bagaimana kita bermula, kita menyediakan anggota tentera untuk keselamatan, menyediakan pasukan perubatan dan doktor. Kami membantu KKM walaupun bilangannya kecil tapi ia membuat banyak perbezaan,” katanya. - Bernama