Yee Khie terlepas pingat emas

Yee Khie ketika kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di UAE.
Yee Khie ketika kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di UAE.
A
A
A

ATLET powerlifting negara Jong Yee Khie terlepas pingat emas dengan beza hanya satu kilogram (kg) pada kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Rabu.

Setelah gagal mengangkat bebanan 220kg pada percubaan pertama kategori 107kg ke atas, atlet berusia 31 tahun itu bangkit kembali untuk melakukan angkatan seberat 231 kg bagi meletakkannya pada kedudukan pingat emas.

Pada percubaan terakhir, pendandan rambut dari Batu Kawa, Kuching itu, berjaya melakar catatan peribadi dengan mengangkat bebanan 239kg, bagaimanapun harapannya untuk meraih emas dileburkan oleh atlet Rusia, Konstantin Matsnev yang melakukan angkatan 240kg.

Mutaz Al Juneidi dari Jordan mendapat pingat gangsa dengan angkatan seberat 217 kg, dalam acara yang distrimkan secara langsung secara dalam talian.

Bagaimanapun, Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi media sosial, mengesahkan Yee Khie mendapat tempat pada Sukan Paralimpik Tokyo sebagai pemain nombor dua dunia menerusi pingat perak.

Pemegang pingat perak bagi kategori heavyweight pada temasya Sukan Komanwel 2018 itu, kehilangan kaki kanannya setelah terlibat dalam kemalangan perlumbaan motosikal di Kuching, Sarawak pada 2005.

Semalam, seorang lagi atlet powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin memecahkan rekod dunia dengan angkatan seberat 230kg dalam kategori lelaki 72kg ke atas, memadamkan rekod 229kg yang dilakar Roohallah Rostami dari Iran pada Sukan Para Asia Jakarta 2018 di Indonesia.

Artikel Berkaitan: