AFC putuskan status venue minggu depan

Windsor Paul
Windsor Paul
A
A
A

KEPUTUSAN muktamad mengenai venue bagi aksi Kumpulan H dan I bagi saingan Piala AFC dijangka diketahui selewat-lewatnya minggu hadapan setelah keputusan daripada pihak Jawatankuasa Pertandingan AFC dimuktamadkan oleh pihak Exco badan induk bola sepak Asia itu.

Menurut Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, pihak Exco AFC akan bersidang bagi membuat keputusan muktamad berhubung perkara berkenaan dengan mengambil kira pelbagai faktor daripada semua pihak yang terlibat, terutamanya pasukan-pasukan yang bertanding.

“Pihak jawatankuasa pertandingan telah pun membuat keputusan dan seperti biasa keputusan berkenaan akan diserahkan kepada pihak Exco AFC untuk dimuktamadkan.

“Pada kebiasaannya, keputusan muktamad daripada pihak Exco AFC akan diketahui dalam tempoh seminggu setelah menerima keputusan daripada pihak jawatankuasa pertandingan.

“Sebarang keputusan muktamad juga akan dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor daripada semua pihak,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Status venue bagi Kumpulan H dan I bagi saingan Piala AFC terpaksa diserahkan kepada Jawatankuasa Pertandingan AFC setelah Singapura pada 27 Mei lalu menarik diri daripada menjadi tuan rumah bagi kedua-dua kumpulan berkenaan berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara berkenaan.

Keputusan itu memberikan kesan kepada aksi Kumpulan H yang melibatkan Kedah Darul Aman FC (KDAFC), Lion City Sailors (Singapura), Saigon FC (Vietnam) dan Persipura Jayapura (Indonesia).

Selain itu, aksi Kumpulan I yang melibatkan Terengganu FC, Geylang International FC (Singapura), Kaya FC-IIoilo (Filipina) dan Shan United FC atau Ayeyawady United FC (Myanmar) apabila difahamkan tiada negara yang berminat untuk menjadi tuan rumah bagi menggantikan Singapura.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Windsor Paul berkata, AFC juga tidak mempunyai banyak pilihan venue sekiranya aksi bagi Kumpulan H dan I boleh diteruskan selepas ini.

“Selain venue, kita juga perlu melihat banyak perkara dalam perkara ini. Lagi pun kes melibatkan Covid-19 ini, ia adalah sesuatu yang dinamik dan boleh berubah-ubah.

“Jika ada satu negara kata bersedia untuk jadi venue, dan kita pula dah lakukan persiapan, tetapi minggu depan pula, negara tersebut kata tak boleh jadi venue kerana kes Covid-19 meningkat.

“Selain itu, negara-negara yang dipilih nanti mungkin ada masalah dengan perjalanan liga domestik masing-masing dan tarikh yang telah ditetapkan tidak boleh dipinda,” katanya.