Chelsea tewas lagi

Menurut laporan ESPN, kad merah Cucurella merupakan yang ketujuh diterima Chelsea musim ini.
Menurut laporan ESPN, kad merah Cucurella merupakan yang ketujuh diterima Chelsea musim ini.
A
A
A

CHELSEA memulakan era baharu di bawah kendalian Liam Rosenior dengan keputusan mengecewakan selepas tewas 1-2 kepada Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Craven Cottage, awal pagi Khamis.

Perlawanan tersebut menjadi debut rasmi Rosenior sejak dilantik pada 6 Januari, namun pasukan bimbingannya terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejak pertengahan babak pertama apabila Marc Cucurella dilayangkan kad merah.

Insiden itu berlaku apabila Cucurella melakukan kekasaran terhadap Harry Wilson yang sedang mengejar bola hantaran jauh.

Pengadil berpendapat pertahanan kiri Chelsea itu telah menghalang peluang terbuka Fulham untuk menjaringkan gol, walaupun pihak Chelsea beranggapan Tosin Adarabioyo masih berada dalam posisi untuk mengawal keadaan.

Sebelum dilayangkan kad merah, kedua-dua pasukan beraksi seimbang.

Fulham beberapa kali menguji gawang Chelsea menerusi Wilson, namun penjaga gol Robert Sanchez bertindak cemerlang menafikan cubaan tersebut.

Chelsea hampir membuka tirai jaringan apabila sepakan penjuru Enzo Fernandez terkena Andrey Santos sebelum bola singgah di palang gol.

Kelebihan jumlah pemain membolehkan Fulham menguasai permainan selepas rehat.

Emile Smith Rowe hampir menghadiahkan gol pendahuluan buat tuan rumah, namun percubaannya dari jarak jauh sedikit tersasar.

Artikel Berkaitan:

Fulham akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-55 menerusi Raul Jimenez yang menanduk masuk hantaran lintang Sander Berge, sekali gus menewaskan Sanchez.

Chelsea tidak mengalah dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-72 apabila Liam Delap memanfaatkan bola muntah dalam kotak penalti Fulham untuk menjaringkan gol pertamanya bersama kelab itu musim ini.

Namun, kegembiraan pelawat tidak bertahan lama apabila Fulham kembali mendahului perlawanan sembilan minit kemudian.

Wilson memperdaya Jorrel Hato sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol Chelsea, sekali gus mengesahkan kemenangan 2-1 buat pasukan tuan rumah.

Menurut laporan ESPN, kad merah Cucurella merupakan yang ketujuh diterima Chelsea musim ini.

Perlawanan ini juga menjadi kali ketiga Chelsea terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejak babak pertama dalam saingan EPL musim ini.

Ringkasan AI

  • Chelsea kalah 1-2 kepada Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris
  • Liam Rosenior membuat debut sebagai pengendali Chelsea
  • Marc Cucurella menerima kad merah pada pertengahan babak pertama
  • Fulham menguasai permainan selepas mendapatkan kelebihan jumlah pemain
  • Chelsea menghadapi kekalahan walaupun sempat menyamakan kedudukan sebelum Fulham menjaringkan gol kemenangan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!