PRN: Amanah muktamad calon minggu depan

Izham
Izham
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka memuktamadkan calon yang bakal bertanding di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada minggu depan.

Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim berkata, di peringkat negeri Selangor, sebanyak tiga nama calon setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dihantar kepada pucuk pimpinan tertinggi.

"Kita jangka calon yang bakal bertanding PRN enam negeri termasuk di Selangor bakal dimuktamadkan dan selesai pada minggu depan," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari di sini pada Rabu.

Izham berkata, calon Amanah bakal ditampilkan parti itu sudah tentu mampu memberi kemenangan kepada parti berkenaan.

"Kriteria calon Amanah terdiri dalam kalangan muka lama, muka baharu dan calon berpengalaman.

"Malah, kita juga tetap mengekalkan kuota 30 peratus calon terdiri dalam kalangan wanita," ujar beliau.

Jelas beliau, Amanah dijangka akan mengekalkan lapan kerusi termasuk dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Bagaimanapun, mungkin ada tambahan kerusi, namun itu terpulang perbincangan di peringkat Majlis Presiden PH (Pakatan Harapan)," jelas beliau.

Katanya, tumpuan turut diberikan di beberapa kerusi 'kelabu' bagi memastikan calon mereka mampu memperoleh kemenangan.

"Kita tidak boleh kurang lapan kerusi untuk dimenangi dan wajar mempertahankan semua kerusi ditandingi sekali gus mempertahankan dan mengekalkan kerajaan Perpaduan di Selangor," kata beliau.