Zahidi gesa Zahid dedah nama MP UMNO sain SD sokong Anwar

PAU UMNO pada Mac lalu bersetuju untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu selain menolak menjalinkan jajaran politik dengan DAP dan Anwar.
PAU UMNO pada Mac lalu bersetuju untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu selain menolak menjalinkan jajaran politik dengan DAP dan Anwar.
A
A
A

SHAH ALAM - Pucuk kepimpinan UMNO dan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu mendedahkan serta mengambil tindakan terhadap ahli-ahli Parlimen (MP) UMNO yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pendedahan itu penting bagi memastikan Lembaga Disiplin UMNO dapat mengambil tindakan tatatertib terhadap perbuatan mereka.

Secara jelas, beliau menyifatkan tindakan itu adalah bertentangan dengan keputusan MKT UMNO dan ketetapan perwakilan ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 mengemukakan dasar 'No Anwar, No DAP'.

"Siapa yang tandatangan sokong Anwar itu dia tidak selari dengan keputusan MKT, jadi siapa yang tandatangan itu boleh ambil tindakan disiplin ke atasnya.

"Ahmad Zahid juga kena dedahkan siapa yang tandatangan dokumen itu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Pada Selasa, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendedahkan seorang Ahli Parlimen daripada UMNO mengaku beliau menandatangani dokumen sokongan untuk Anwar Ibrahim dilantik menjadi perdana menteri.

Shahidan berkata, ahli Parlimen itu memberitahunya beliau menandatangani dokumen sokongan itu pada 7 Jun lalu di hadapan Anwar dan Ahmad Zahid serta seorang individu 'kenamaan'.

Artikel Berkaitan:

Gambar dari kiri: Ahmad Zahid, Zahidi
Gambar dari kiri: Ahmad Zahid, Zahidi

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz membuat pendedahan beliau individu bertanggungjawab untuk menggerakkan usaha mengumpul tandatangan SD 25 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi menyokong Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau bagaimanapun menjelaskan gerakan mengumpul surat akuan mandat kepada Hishammuddin itu bukan bertujuan menukar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, Mohamed Nazri menjelaskan Hishammuddin dipilih menjadi jurucakap bagi ahli-ahli Parlimen UMNO susulan mereka tidak lagi mempercayai Ahmad Zahid akan membawa kepentingan parti sewaktu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar turut mengesahkan pendedahan Mohamed Nazri.

Jelas beliau, faktor utama 25 ahli-ahli Parlimen BN menandatangani SD menyokong Hishammuddin adalah bertujuan mempertahankan kerajaan sedia ada di samping menolak Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.