Impian Olimpik Jun Hoong 'diragut'

Jun Hoong terlepas tiket beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo, bulan depan.
Jun Hoong terlepas tiket beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo, bulan depan.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PERSATUAN Renang Malaysia (MS) pada Rabu mengesahkan bekas juara dunia Cheong Jun Hoong terlepas tiket beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo, bulan depan.

Setiausaha Agung MS, Mae Chan berkata, ia susulan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) memutuskan hanya 15 penerjun terbaik dalam acara 10 meter (m) platform individu wanita di Piala Dunia Terjun FINA 2021 layak ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Beliau mengakui perkembangan tersebut amat mengecewakan kem terjun negara dan Jun Hoong sendiri yang telah pun 'melayakkan diri' di bawah format kelayakan sebelum ini.

"Kami hanya perlu meneruskan latihan beliau seperti biasa dahulu, jika ada beberapa negara yang terjejas teruk dengan Covid-19 dan mereka tidak dapat mengambil bahagian mungkin terdapat slot lagi tetapi apa-apa pun kami hanya perlu tunggu.

"Bukan hanya beliau (Jun Hoong) yang terlepas, ada juga beberapa perenang yang tidak berjaya," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Pada masa sama, Mae berkata, nasib malang menimpa Jun Hoong pasti tidak berlaku sekiranya penerjun berusia 31 tahun itu berjaya mara ke final acara kegemarannya itu pada Piala Dunia Terjun FINA 2021 di Tokyo, Mei lepas.

"Malangnya, pada acara separuh akhir, nasib tidak menyebelahi beliau menyebabkan beliau gagal untuk melayakkan diri ke final yang akan memberi jaminan tempat ke Olimpik," tambah Mae.

Pada kejohanan Piala Dunia Terjun 2021, Jun Hoong menamatkan saingan separuh akhir acara 10m platform individu wanita pada kedudukan terakhir, namun mengesahkan tempat ke Olimpik apabila berada dalam kelompok 18 penerjun terbaik kejohanan itu untuk mengisi slot ke Tokyo.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, hujung Mei lepas, FINA memaklumkan jumlah kuota itu dikurangkan kepada 12 penerjun sahaja sekali gus menggugat peluang Jun Hoong yang menyasarkan untuk membuat penampilan ketiganya pada temasya berprestij tersebut.

Dalam pada itu, Mae mengesahkan empat penerjun wanita negara akan beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo ialah Pandelela Rinong Pamg (10m platform individu dan 10m platform seirama), Nur Dhabitah Sabri (3m papan anjal individu ), Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal individu) dan Leong Mun Yee (10m platform seirama).

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, keputusan FINA itu yang dilihat bertentangan dengan syarat kelayakan asal diluluskan badan induk itu sendiri sebelum ini, bukan sahaja menjejaskan harapan Jun Hoong, malah beberapa penerjun dari negara lain.

Katanya, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk berbincang secara terperinci dengan Jun Hoong, jurulatih beliau dan MS untuk memperincikan serta meneruskan program latihan Jun Hoong termasuk program latihan menghadapi Sukan Asia 2022 di Hanzhou, China.

"Saya amat memahami kekecewaan dialami Jun Hoong pada ketika ini. Saya juga memahami kesukaran yang beliau lalui sebelum ini untuk melakukan kemunculan semula yang pada satu ketika beliau telah hampir bersara ekoran kecederaan dan pembedahan yang beliau alami," katanya.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata beliau difahamkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sudah menghantar surat rayuan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan berharap jawatankuasa yang turut terlibat dengan perubahan syarat kelayakan itu dapat memberi pertimbangan semula berhubung isu melibatkan Jun Hoong itu. - Bernama